Selasa, 27 Disember 2022

TIMBALAN MENTERI TURUN PADANG BANTU 15 RUMAH TERJEJAS BENCANA DI MENUMBOK

Aminah meninjau keadaan jambatan di perkampungan berkenaan.

BEAUFORT--Sebanyak 15 rumah terjejas susulan fenomena air pasang besar serta ombak yang berlaku di perkampungan atas air Kampung Laut dan Sekalong di Menumbok di sini, kelmarin.

Dalam kejadian yang dilaporkan bermula jam 11.00 malam hingga 1.00 pagi itu, tidak ada kemalangan jiwa atau rumah roboh ekoran bencana tersebut.

Bagaimanapun kejadian itu menjejaskan penduduk kampung terlibat di mana hampir keseluruhan rumah dinaiki air dan mengakibatkan kemusnahan harta benda penduduk.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komiditi, Datuk Hajjah Siti Aminah Aching yang kini berada di kawasan, bergegas menemui penduduk berkenaan di samping menghulurkan bantuan awal berupa kewangan dan keperluan makanan untuk meringankan beban mangsa terbabit.

"Alhamdulillah hari ini saya berpeluang menemui mereka yang terjejas di samping menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka. Kita bersyukur kerana tiada kejadian serius  yang berlaku seperti rumah roboh sebagaimana yang berlaku di daerah lain seperti Pitas, Kudat, Tanjung Aru di Kota Kinabalu dan di Sandakan," katanya.

Anggota Parlimen Beaufort itu berkata demikian ketika ditemui di sini selepas melawat mangsa yang terlibat.

Aminah menyampaikan bantuan berupa barang-barang keperluan harian kepada penduduk yang terjejas.

Dalam pada itu, Aminah meminta penduduk yang tinggal di kawasan tersebut agar sentiasa berwaspada sekoran keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini terutama pada waktu hujan dan ribut.

Katanya, penduduk yang rumah mereka berhampiran pesisiran pantai supaya berhati-hati dalam menghadapi fenomena air pasang besar dan sentiasa mendapatkan laporan terkini mengenai keadaan cuaca dari pihak berkuasa,

Katanya, atas faktor keselamatan, penduduk wajar mengosongkan rumah mereka dan menyelamatkan dokumen-dokumen penting mereka sekiranya fenomena sedemikian berlaku di luar jangkaan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Beaufort meminta kerjasama pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kampung yang terlibat supaya memantau keadaan jambatan yang menghubungkan antara rumah ke rumah yang mungkin mengalami kerosakan sekoran bencana tersebut.

Menurutnya, jika berlaku kerosakan, ia perlu diperbaiki segera agar tidak menjejaskan perhubungan dan kehidupan penduduk.

Turut serta dalam lawatan itu, Ketua Pusat Daerah Mengundi Menumbok, Fadzlee Lee Abdullah serta pemimpin masyarakat tempatan. -Oleh Jaafar Wahid.

Timbalan Menteri itu turut diiringi Ketua PDM Menumbok, Fadzlee Lee Abdullah dalam lawatan ke perkampungan yang terjejas tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan