Ahad, 21 Julai 2019

PEMAIN TABS BANDARAYA BERPELUANG BERLATIH DI JEPUN TAHUN HADAPAN


Pengurusan TABS SAFA Bandaraya bersama Rashid, Alijus dan jurulatih skuad Piala Presiden yang hadir pada majlis jamuan aidilfitri itu. 

Pelatih-pelatih Program Pembangunan Bolasepak TABS SAFA Bandaraya akan berpeluang untuk mengikui latihan di Jepun tahun hadapan.

Ini berikutan langkah yang diambil CIMB Foundation untuk mengenal pasti pemain-pemain muda berbakat dari akademi-akademi bolasepak di bawah tajaannya di negara ini termasuk dari TABS Bandaraya di Kota Kinabalu untuk menjalani latihan lanjutan di negara matahari terbit itu.

Bagaimanapun setakat ini belum dipastikan jumlah pemain berbakat yang akan dihantar ke Jepun untuk tujuan tersebut.

Penolong Pengurus CSR CIMB Foundation, Rashid Abdul Rahman, berkata pihaknya sedang mengadakan kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Jepun berhubung perancangan CIMB Foundation itu.

Katanya, jika perancangan tersebut berjalan lancar, ia mungkin akan dilaksanakan tahun hadapan.

"Kita akan memilih pemain-pemain terbaik dari akademi bolasepak tajaan CIMB Foundation di seluruh negara termasuk TABS Bandaraya untuk tujuan tersebut," katanya pada majlis jamuan aidilfitri anjuran TABS Bandaraya dan CIMB Foundation di sini, Ahad lepas.

Menurut beliau, perancangan itu bagi memberi peluang dan pendedahan kepada pemain-pemain muda terbaik berlatih di luar negara.

Rashid dan Alijus bersama pengurusan TABS Bandaraya bergambar dengan beberapa bekas pelatih TABS yang ketika ini mewakili skuad Piala Presiden Sabah dan skuad Piala Belia yang menerima trofi penghargaan pada majlis itu.
Sehubungan itu, CIMB Foundation dijangka akan meneruskan kejohanan bolasepak anjurannya yang membabitkan pelatih-pelatih akademi tajaannya di seluruh negara.

"Kita akan memilih pemain-pemain terbaik melalui kejohanan berkenaan bagi menjayakan program penghantaran pemain ke Jepun nanti," tambahnya,

Beliau juga melahirkan rasa gembira dengan pencapaian TABS Bandaraya yang semakin berkembang dan berjaya melahirkan pemain-pemain muda berbakat termasuk mewakili skuad senior Sabah, Piala Presiden dan Piala Belia.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden SAFA Bandaraya, Alijus Sipil, Bendahari SAFA Negeri, Yap Wai Loon, Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom, Pengerusi TABS Bandaraya, Sulaiman Mohd Noor, timbalannya, Lokman Sunggim dan bekas pemain legenda, Datuk James Wong.

Sebelum ini, dua pelatih TABS, Sabrina Batrisya Rodney dan Mohd Hafiz Zainol Abidin, kedua-dua berusia 12 tahun berpeluang mengikuti latihan di bawah program kem bolasepak Astro di Barcelona, Sepanyol.