Isnin, 25 November 2019

KUALA PENYU BAKAL PUNYAI RESORT DAN PUSAT PERCUTIAN BERTARAF DUNIA

Shafie mendengar penerangan Christina di tapak pembinaan resort tersebut sambil diperhatikan Peter Wong (dua dari kiri).

Kuala Penyu, daerah pinggir pantai di Sabah bakal mempunyai resort dan pusat percutian terkemuka dunia bertaraf lima bintang sebaik sahaja pembinaannya menjadi kenyataan menjelang tahun 2022.

Resort tersebut yang lokasinya di Kampung Tanjung Aru, kira-kira satu setengah jam perjalanan dari Kota Kinabalu akan dimajukan sebuah syarikat peneraju industri resort dan percutian terkemuka, Club Med membabitkan pelaburan sebanyak RM400 juta.

Ia merupakan resort kedua milik Club Med di Malaysia selepas Club Med Cherating Beach Resort di Pahang.
Pemandangan dari udara lokasi pembinaan resort bertaraf lima bintang itu di Kampung Tanjung Aru, Kuala Penyu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal merasmikan majlis pecah tanah pembangunan resort berkenaan, hari ini (Isnin).

Dalam ucapannya, beliau berkata, pembangunan resort itu oleh pengusaha yang terkenal di seluruh dunia bukan sahaja mampu menarik lebih ramai pelancong ke Sabah malah ia sudah tentu memberi manfaat kepada penduduk setempat.

"Bukan sahaja nelayan, petani dan penduduk akan menerima manfaat, ia juga sudah tentu akan turut  dapat menambah baik kemudahan seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya di daerah ini," katanya.

Menurut Shafie, dengan pembinaan resort seumpama  itu mampu mewujudkan pembangunan seimbang di mana ia tidak hanya tertumpu di kawasan bandar tetapi juga beralih ke kawasan luar bandar.

Katanya, dasar kerajaan negeri pada hari ini adalah membawa sesuatu pembangunan kepada penduduk di luar bandar terutama yang berupaya meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Ketua Menteri juga memberi jaminan berhubung soal keselamatan di resort tersebut apabila beroperasi nanti.

"Soal keselamatan adalah terjamin memandangkan di kawasan ini tiada kegiatan lanun," kata Shafie sambil menambah bahawa pelancong akan berasa lebih selamat.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew, Pegawai Eksekutif Club Med (Resort Asia Pasifik) dan Pengarah Urusan Golden Sands Beach Resort City Sdn Bhd (GSBR), Peter Wong dan Adun Kuala Penyu, Datuk Limus Jury.
Shafie ketika berucap merasmikan majlis itu.