Jumaat, 20 Disember 2019

KURNIAWAN KETUA JURULATIH SABAH MUSIM DEPAN

Peter menyerahkan dokumen kontrak kepada Kurniawan pada sidang media itu. Turut kelihatan ialah Jelius (tengah).

Jurulatih dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto dilantik menjadi Ketua jurulatih skuad Sabah bagi menghadapi saingan Liga Super musim hadapan.

Pelantikan itu diumumkan Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony pada satu sidang media di ibu pejabat SAFA di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telah membuat keputusan untuk memuktamadkan pelantikan Kurniawan sebagai ketua jurulatih skuad Tambadau yang baharu.

Pengumuman itu sekali gus mengesahkan desas-desus sebelum ini bahawa Kurniawan yang juga bekas pemain antarabangsa negara jiran itu akan membimbing pasukan Sabah dalam kempen Liga Super.

Kurniawan, 43, juga pernah beraksi dalam Liga Malaysia sebelum ini. Dia mengikat kontrak setahun dengan SAFA dan kontrak tersebut boleh dibincangkan lagi selepas Liga Malaysia musim hadapan, selesai.

Menurut Peter, jurulatih Jelius Ating akan diberi tanggungjawab sebagai penolong jurulatih pasukan dengan jurulatih Burhan Ajui akan menjadi pembantu jurulatih.

Manakala seorang muka baharu, Sofie Imam Faizal  juga dari Indonesia dilantik sebagai jurulatih kecergasan.

"Kita juga mengambil keputusan untuk mengekalkan kedudukan pegawai dan jurulatih yang lain," katanya.

Presiden SAFA itu berharap dengan adanya gandingan kejurulatihan yang baharu di samping kerjasama semua pihak mampu mengukuhkan lagi pasukan dalam menghadapi cabaran Liga Super musim 2020.