Selasa, 27 Oktober 2020

AG ASLEE LAKAT DILANTIK PEMANGKU KETUA UMNO BAHAGIAN BEAUFORT

Awang Aslee Lakat (gambar) dilantik sebagai Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort dan telah menjalankan tugas tersebut sejak 30 September lepas.

Pelantikan itu dibuat Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berikutan ketiadaan Ketua Umno bahagian berkenaan sebelum pilihan raya umum negeri yang lalu.

Ketika dihubungi di pejabatnya hari ini, Awang Aslee mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Bung Moktar atas kepercayaan diberikan kepada beliau untuk menjalankan tugas sebagai Pemangku Ketua Umno bahagian.

"InsyaAllah, saya akan menggalas amanah ini untuk kebaikan ahli-ahli Umno di bahagian ini," katanya.

Beliau yang sebelum ini Naib Ketua Umno bahagian, berkata pihaknya akan terus menjalinkan kerjasama dengan semua sayap parti iaitu pergerakan wanita, pemuda dan puteri dalam usaha untuk memantapkan lagi Umno di bahagian Beaufort.

Umno bahagian Beaufort membabitkan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Klias dan Kuala Penyu.

Menurut Awang Aslee yang juga Penolong Setiausaha Umno Sabah, Umno bahagian berkenaan mempunyai 219 cawangan membabitkan cawangan-cawangan di Kuala Penyu dan Klias.

"Kita akan memastikan ahli-ahli cawangan Umno di kedua-dua Dun tersebut akan terus dapat memainkan peranan dan bersama-sama kepimpinan bahagian untuk memperkukuhkan lagi kedudukan parti dari semasa ke semasa," ujarnya.

Beliau merupakan orang lama dalam parti yang sentiasa setia dan komited dalam perjuangan serta pernah menjadi Ketua Pemuda Umno Bahagian Kimanis (sebelum ditukar menjadi bahagian Beaufort).

Awang Aslee juga dijangka dilantik menjadi Setiausaha Kerja Umno Sabah berkuatkuasa bulan hadapan bagi menggantikan Datuk Kadzim Yahya yang dilantik sebagai Speaker Dun yang baharu.

Awang Aslee (kiri) mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan di pejabatnya. Yakub juga merupakan Timbalan Pengerusi Umno Sabah.

TIADA SEBAB MUHYIDDIN LETAK JAWATAN: UMNO SABAH

Umno Sabah menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong bahawa tiada keperluan untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di Malaysia atau mana-mana bahagian dalam negara.

Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar), berkata parti itu menjunjung kasih di atas keputusan Yang di-Pertuan Agong yang menolak perisytiharan darurat dalam menangani ancaman wabak Covid-19.

Katanya, perbezaan politik perlu dihentikan serta-merta ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 terutama di Sabah yang menunjukkan keadaan yang membimbangkan.

"Ketika ini, kita perlu berganding bahu tanpa mengira kerajaan atau pihak pembangkang untuk bersama-sama memerangi penularan semula pandemik Covid-19 yang telah menyebabkan kerencatan usaha pemulihan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, berkata tuntutan beberapa pihak yang meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan hanya untuk memuaskan nafsu mereka tetapi tidak menjamin kemelut politik negara berakhir malah akan menyebabkan lebih bercelaru.

Katanya, adakah situasi kini memerlukan Muhyiddin perlu berundur sedangkan kepimpinan beliau diperakui Yang di-Pertuan Agong dalam mengemudi negara menghadapi cabaran semasa penularan wabak virus tersebut.

"Kita tidak menolak wujudnya beberapa kelemahan tetapi ia masih boleh diperbaiki berbanding dengan apa yang ditunjukkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang telah memerintah selama 22 bulan sebelum ini," tegasnya.

Beliau turut mengajak rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik supaya menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong agar kestabilan dan keamanan negara terus dipelihara dalam menangani penularan Covid-19 dan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong berpendapat tiada keperluan untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di Malaysia atau mana-mana bahagian dalam negara.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menjelaskan, Yang di-Pertua Agong mempercayai keupayaan kerajaan pimpinan Muhyiddin untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan memerangi wabak Covid-19.




Jumaat, 9 Oktober 2020

BUNG MOKTAR DAHULUI SENARAI MAJLIS ANGKAT SUMPAH ADUN

Bung Moktar mendahului senarai Adun yang mengangkat sumpah pada majlis itu.

KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendahului 73 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang memenangi pilihan raya negeri ke-16 bulan lepas mengangkat sumpah sebagai Adun di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Beliau yang juga Adun bagi kawasan baharu, Lamag mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua DUN Sabah, Datuk Kadzim Yahya.

Ia disusuli Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan yang juga Adun Tambunan, Timbalan Ketua Menteri yang juga Adun Kundasang, Datuk Dr. Joachim Gunsalam, menteri kabinet, 18 pembantu-pembantu menteri dan Adun-Adun yang lain.

Majlis angkat sumpah itu yang dipengerusikan oleh Kadzim selaku speaker yang baharu diadakan secara tertutup tanpa kehadiran media kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Datuk Jaffry Ariffin, Adun Sukau turut mengangkat sumpah di hadapan Kadzim.

Ketua Menteri yang juga Adun Sulaman, Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana secara sukarela menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu setelah beliau terdedah dengan individu yang kemudian didapati positif Covid-19.

Menurut kenyataan media Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, kerajaan negeri akan berfungsi seperti biasa dan sekiranya mesyuarat perlu diadakan, ia akan dibuat melalui persidangan video.

Selain 73 Adun, enam Adun Dilantik turut mengangkat sumpah pada majlis itu.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai 41 Adun termasuk tiga Adun Bebas yang menyokong kerajaan negeri yang baharu.

Warisan Plus selaku parti pembangkang membabitkan Warisan, DAP, PKR dan UPKO mempunyai 32 Adun.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya melahirkan rasa puas hati dengan proses majlis angkat sumpah itu walaupun diadakan secara tertutup kerana mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan di bawah PKPB.

"Alhamdulillah, majlis berjalan dengan lancar walaupun dalam keadaan tertutup," katanya selepas majlis itu. (Oleh JAAFAR WAHID).

 

Rabu, 7 Oktober 2020

PERLAWANAN SABAH - UiTM DALAM LIGA SUPER DITANGGUH

Perlawanan terakhir pasukan Sabah dalam saingan Liga Super musim ini menentang pasukan UiTM yang dijadualkan di Stadium Likas Sabtu ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Ia berikutan penguatkuasaan sekatan perjalanan yang diumumkan kerajaan pada Selasa lepas.

Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (Safa), Datuk Rahman Zakaria (bawah) yang mengesahkan perkara itu, berkata Safa telah menghantar surat kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi meminta penangguhan perlawanan itu.

"Kita tidak mempunyai pilihan tetapi meminta penangguhan perlawanan antara Sabah dengan UiTM disebabkan sekatan perjalanan yang dikeluarkan kerajaan," katanya.

Selain itu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan juga akan menghadkan pergerakan yang akan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP).

Oleh itu, katanya, adalah sukar untuk semua pihak berkenaan jika perlawanan tersebut diteruskan.

Rahman berkata, pihaknya akan menyerahkan kepada MFL untuk menentukan tarikh baharu perlawanan tetapi ia mungkin diteruskan selepas sekatan perjalanan ditamatkan yang dijadualkan pada 25 Oktober ini.

Timbalan Presiden Safa 1 itu baru-baru ini dipersetujui ahli majlis tertinggi badan bolasepak itu memangku jawatan Presiden Safa ekoran peletakan jawatan Presidennya, Datuk Peter Anthony akhir bulan lepas.

 

Selasa, 6 Oktober 2020

SALLEH NASIHATI PENDUDUK BERWASPADA MUSIM BANJIR

Salleh bertanya sesuatu kepada seorang makcik di pusat pemindahan ketika menziarahi mereka.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak menasihatkan penduduk di kawasan Kota Belud supaya berhati-hati dan bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan ketika musim banjir.

Katanya, ini kerana keadaan cuaca masih mendung dan hujan renyai.

"Walaupun ada kawasan sudah mulai surut namun ada sesetengah tempat masih mengalami banjir," katanya dalam satu hantaran di akaun facebook peribadinya.

Beliau menasihatkan demikian ketika menziarahi mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan di Dewan Tun Said, Balai Muhibbah Kampung Baru dan Dewan SMK Taun Gusi 2 di sini, hari ini.

Turut bersama beliau ialah Adun Kawasan Tempasuk, Arshad Bistari.

Salleh bersama Arshad ingin tahu keadaan mangsa-mangsa banjir yang dipindahkan.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri berharap mangsa banjir supaya bersabar menghadapi dugaan yang mereka hadapi.

Salleh kemudian diberi taklimat khas oleh Pegawai Daerah, Puan Hajah Dyanah Abdullah berhubung keadaan banjir di daerah berkenaan.

Adun Pintasan, Fairuz Renddah dan Arshad turut hadir sama pada taklimat itu.

Katanya, beberapa perkara juga telah dibincangkan termasuk isu kebajikan dan keselesaan mangsa banjir, masalah air bertakung di jalan raya, bantuan makanan dan keperluan asas serta bantuan yang diberikan pihak polis.

"Kami akan melakukan sebaik kemampuan untuk menghulurkan bantuan untuk meringankan beban penduduk yang terlibat," ujar beliau.


JALAN RAYA ALAMI TANAH RUNTUH DIAMBIL TINDAKAN SEGERA, KATA BUNG MOKTAR

 

Keadaan jalan raya Kiulu - Tamparuli yang berlaku kejadian tanah runtuh.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar berkata, pihaknya telah meminta Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan jurutera daerah untuk memantau keadaan dan mengambil tindakan terhadap jalan-jalan raya yang mengalami kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan yang terjejas akibat hujan lebat sejak malam kelmarin.

Katanya, tindakan segera perlu diambil terutama di jalan-jalan raya yang berlaku tanah runtuh supaya penduduk tidak terjejas perhubungan mereka.

“Sekiranya jalan-jalan raya itu di bawah jagaan syarikat konsesi, mereka akan diminta mengambil langkah pro-aktif untuk membersihkan dan membaik-pulih runtuhan tersebut dengan kadar segera,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya (gambar bawah) berkata, bagi kes jambatan runtuh sebagaimana yang berlaku di Kampung Melangkap Kota Belud, pihaknya telah meminta pihak jurutera daerah dan Pengarah JKR meneliti kerosakan yang berlaku. 

Menurut beliau, sekiranya ia melibatkan tanggungjawab jabatan,tindakan serius akan diambil untuk memperbaikinya melalui peruntukan kecemasan.

Bung Moktar memberitahu, beliau juga akan melakukan lawatan ke beberapa tempat yang dilanda banjir itu untuk melihat sendiri punca berlakunya banjir kilat bagi membolehkan tindakan susulan dilakukan.

Katanya, kerajaan juga akan menaiktaraf sistem perparitan sebagai antara langkah bagi mengatasi banjir kilat di beberapa tempat khususnya di sekitar Kinabalu dan daerah berhampiran.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata, sistem perparitan yang sedia tidak mampu mengalirkan air dengan baik menyebabkan rumah-rumah di kawasan tanah rendah dinaiki air.

“Banjir yang melanda ekoran hujan lebat agak luar biasa. Selain beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu dilanda banjir kilat, beberapa daerah lain seperti Kota Belud  dan Tuaran turut mengalami banjir yang serius," katanya.

Menurutnya, dengan menaiktaraf sistem perparitan ini nanti akan dapat membantu para penduduk daripada ancaman banjir kilat terutama setiap kali musim hujan. 

Bung Moktar menambah, perbincangan dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Pengaiaran dan Saliran serta pihak berkuasa tempatan akan dilakukan bagi menjalinkan  kerjasama untuk menangani masalah banjir kilat yang sering berlaku.

Katanya, beberapa faktor lain seperti pembinaan jalan raya dan pembangunan yang sedang berjalan menjadi antara punca menyumbang banjir kilat terjadi.

"Kita meminta kepada pemaju dan kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan agar dapat memastikan sistem perparitan sementara dapat dibina dan sentiasa dipantau di segi kebersihannya agar tidak berlaku halangan menyebabkan air tersekat daripada mengalir," ujar beliau.

Menurutnya, keadaan itu juga menyebabkan jalan raya yang sedia ada mudah dinaiki air mengakibatkan kesukaran bagi kenderaan melaluinya.- (JA).

Jalan raya yang dilanda banjir berisiko mengalami tanah runtuh.

 

 

 

Isnin, 5 Oktober 2020

KERAJAAN LAKSANA KAWALAN PERGERAKAN DI SELURUH NEGERI

Kerajaan negeri melaksanakan Kawalan Pergerakan Rentas Daerah di seluruh negeri mulai 3 Oktober hingga 16 Oktober ini berikutan peningkatan kes Covid-19 sejak beberapa hari lepas.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor (gambar) berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah Covid-19 telah memutuskan bagi pelaksanaan kawalan pergerakan itu berkuatkuasa dari tarikh tersebut.

"Ia akan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Kawalan Pergerakan Rentas Daerah di seluruh negeri oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ketua Menteri memberitahu, bagi kemasukan ke Sabah dari Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan oleh warganegara Malaysia dan bukan warganegara, ia hendaklah mengikut Panduan Kebenaran Masuk ke Sabah berkuatkuasa dari 3 Oktober hingga 16 Oktober 2020.

Katanya, jawatankuasa berkenaan juga memutuskan untuk melaksanakan 11 perkara yang tertakluk kepada persetujuan MKN.

Antaranya; Hanya membenarkan operasi perniagaan untuk perkhidmatan dan barangan perlu (essential services dan essential goods), menutup pasaraya kecuali premis perniagaan yang membekalkan perkhidmatan dan barangan perlu, tidak membenarkan drive in di restoran, kedai makan dan gerai makan, menutup tamu, pasar malam dan pasar tani, menutup rumah-rumah ibadat (masjid, surau, gereja, tokong dan lain-lain), menutup taman awam, pusat rekreasi, indoor dan outdoor playground, menutup perpustakaan awam, menutup sekolah-sekolah termasuk taska, pusat jagaan, tadika dan tabika, mengurangkan 50% kapasiti sebenar penumpang bagi perkhidmatan bas berhenti-henti, menghadkan kapasiti kenderaan persendirian kepada dua orang dan menjadikan stesen kuarantin yang telah diwartakan sebagai pusat wad tambahan/rawatan pesakit.

Hajiji berharap supaya perkara-perkara tersebut dipersetujui dan diluluskan MKN dan pelaksanaannya berkuatkuasa serta-merta sehingga 16 Oktober ini.

Katanya, seluruh rakyat di negeri ini diingatkan supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dan turut memainkan peranan masing-masing bagi menangani pandemiki Covid-19 dengan penuh tanggungjawab.

Sementara itu, Lembaga Sukan Sabah (LSS) menasihatkan orang awam supaya tidak melaksanakan sebarang aktiviti riadah di kawasan taman tasik awam Kompleks Sukan Likas atas faktor keselamatan dan kesihatan.

Dalam satu notis makluman lembaga itu, berkata, kawasan tasik itu terletak berhampiran dengan Dewan Serbaguna kompleks berkenaan yang telah dijadikan wad tambahan pesakit Covid-19 dan pusat pengambilan sampel virus tersebut di gelanggang boling padang di sini.

Sebarang kesulitan yang timbul adalah amat dikesali, tambah notis tersebut.

Sabtu, 3 Oktober 2020

KM MINTA RAKYAT PATUHI KAWALAN RENTAS DAERAH

Rakyat di negeri ini digesa untuk mematuhi arahan Kawalan Rentas Daerah mulai tengah malam kelmarin hingga 16 Oktober ini bagi membendung penularan Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor (gambar) berkata, kerjasama rakyat sangat penting dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak tersebut dengan sentiasa berwaspada dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Menurut beliau, pihaknya berharap rakyat memberi kerjasama demi kebaikan mereka.

"Kita perlu berwaspada kerana virus ini masih berada dalam kalangan kita," katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Haji Noor, Kampung Serusop di sini, kelmarin.

Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan, berkata usaha membanteras wabak itu bukan mudah namun apa yang penting, orang awam mesti hadkan pergerakan.

Katanya, duduk di rumah kecuali ada keperluan mustahak dan jangan melepak atau pergi ke tempat yang berisiko menyebabkan jangkitan.

Sebelum ini, beliau juga mengumumkan bahawa kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan segera sebanyak RM50 juta bagi menangani pandemik Covid-19. 

Daripada jumlah itu, RM10 juta diperuntukkan bagi membekalkan bakul makanan di empat daerah di pantai timur yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) iaitu Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna.


MENANGANI COVID-19 KEUTAMAAN KERAJAAN: TKM

Bung Moktar bertanyakan sesuatu kepada Timbalan Setiausaha Tetap kementerian, Helena Masry di pejabatnya.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kerajaan yang baharu berharap syor "lockdown" di Kota Kinabalu boleh mengekang penularan virus Covid-19 daripada terus meningkat secara mendadak.

Katanya, usaha menangani pandemik virus itu di negeri ini menjadi keutamaan pentadbiran di bawah kerajaan yang baharu.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya menyatakan perkara itu ketika memulakan tugasnya di pejabatnya di kementerian berkenaan, Selasa lepas.

"Kota Kinabalu ketika ini menjadi zon merah. Malah terdapat syor supaya "lockdown" dilakukan di bandaraya ini. Cabaran besar kita ialah Covid-19", katanya kepada wakil media.

Menurut beliau, ia diharap tidak akan merebak ke daerah lain dan boleh diurus serta dapat dikawal.

Pada ketika ini, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) sedang dilaksanakan di empat daerah di pantai timur iaitu Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna.

Pada Selasa lalu, Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi turut menjelaskan bahawa ibu negeri masih lagi di tahap zon kuning.

"Kami menggunakan tempoh 14 hari untuk memantau keadaan kes. Tempoh ini akan berbeza setiap hari," katanya.

Sementara itu, dalam taklimat KKR terdahulu, selaku menteri, Bung Moktar akan mempengerusikan empat jawatankuasa dan dua mesyuarat di kementerian berkenaan.

Empat jawatankuasa yang akan dipengerusikan beliau ialah Jawatankuasa Pemandu Projek, Jawatankuasa Bekalan Air Negeri Sabah, Jawatankuasa Perkhdimatan Pembentungan Negeri Sabah, Jawatankuasa Pengangkutan Awam Negeri Sabah dan mempengerusikan mesyuarat pagi bersama jabatan dan agensi kementerian serta mesyuarat agung tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Sabah.



Jumaat, 2 Oktober 2020

KERAJAAN SEDIAKAN PERUNTUKAN SEGERA RM50J TANGANI COVID-19

Hajiji bersama Bung Moktar dan Dr Jeffrey dalam satu sidang media. Turut kelihatan Jahid (kiri sekali).

Kerajaan negeri menyediakan peruntukan segera sebanyak RM50 juta dalam usaha untuk menangani pandemik Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Mohd Noor, berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat kabinet negeri yang pertama bagi membincangkan isu pandemik virus itu dan usaha untuk mengekang penularannya di negeri ini.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk bakul makanan kepada penduduk yang terkesan di empat daerah terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) iaitu Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak.

Menurut beliau, pengurusan berkaitan isu virus berkenaan akan dikendalikan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dengan Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr, Christina Rundi sebagai timbalannya serta anggota jawatankuasanya terdiri wakil dari agensi-agensi perseketuan dan negeri.

"Dengan itu, Sabah Covid-19 Command Centre dimansuhkan dan peranannya diletakkan di bawah jawatankuasa yang baharu itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Sebelum itu, Hajiji mempengerusikan mesyuarat kabinet yang pertama selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Selasa lalu, berikutan pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

Hadir sama pada mesyuarat tersebut tiga timbalan ketua menteri iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Masidi Manjun dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim.