Ahad, 12 September 2021

KIM SWEE BERI SEMANGAT SABAH FC HADAPI PERAK FC MALAM INI

Kim Swee menyatakan sesuatu kepada Jelius dan Burhan ketika menemui kedua-dua jurulatih itu di sebuah hotel di Ipoh, petang tadi.

IPOH--Ketua jurulatih Sabah FC yang baharu, Datuk Ong Kim Swee tiba di sini petang tadi untuk menemui pengurusan dan staf kejurulatihan pasukan sebelum turun menentang pasukan tuan rumah Perak FC di Stadium Perak, malam ini.

Pertemuan dengan Perak FC merupakan perlawanan terakhir pasukan dalam saingan Liga Super sebelum meneruskan cabaran dalam pertandingan Piala Malaysia selepas ini.

Walaupun beliau hanya akan memulakan tugas bersama Sabah FC pada 1 Oktober ini namun kehadiran bekas jurulatih skuad B23 kebangsaan itu pastinya membantu pemain-pemain lebih bersemangat menghadapi lawan.

Menurut Sabah FC dalam laman facebook rasminya petang ini, Kim Swee mengadakan sesi perbincangan dengan pihak pengurusan dan kejurulatihan bagi merancang persiapan dan hala tuju pasukan dalam pertandingan Piala Malaysia yang dijadualkan lewat bulan ini.

Selain itu, mereka juga sedang merangka persiapan pasukan bagi menghadapi Liga Super musim depan.

Kelmarin, Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan keyakinan dengan pelantikan Kim Swee sebagai ketua jurulatih baharu pasukan akan dapat membentuk Sabah FC mampu untuk bersaing dengan pasukan-pasukan lain di negara ini.

Kim Swee (tengah) bergambar dengan pegawai pengurusan dan jurulatih Sabah FC.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan