Ahad, 29 Oktober 2023

ALIJUS SUMBANG BOLA KEPADA TABS SAFA BANDARAYA

SERAH...Alijus (empat kiri) menyerahkan sumbangan itu kepada Lokman sambil disaksikan Amsir, Matasan, Moksin dan Amat.


KOTA KINABALU--Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Alijus Sipil memberi sumbangan bola dan jaring kepada Tunas Asas Bola Sepak Sabah (TABS) SAFA Bandaraya, pagi tadi.

Beliau yang juga penasihat TABS menyerahkan sumbangan itu kepada Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim. 

Turut hadir  pada majlis itu Setiausaha SAFA Bandaraya, Juraidah Abdul Rahim, Setiausaha TABS, Amsir Abdullah, Ketua jurulatih TABS, Matasan Ahmad dan ahli jawatankuasa TABS, Moksin Dusin. 

Menurut Alijus, sumbangan itu sebagai tanda sokongan berterusan beliau terhadap program pembangunan bola sepak akar umbi yang dijalankan TABS SAFA Bandaraya. 

Beliau juga merupakan bekas Presiden SAFA Bandaraya dan bekas Pengerusi TABS sebelum ini. 

Kata beliau, pihaknya berharap program pembangunan bola sepak TABS akan terus berjalan dengan baik kerana ia telah melahirkan ramai pemain-pemain berbakat yang berjaya mewakili pasukan negeri. 

Sementara itu, Lokman mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Naib Presiden SAFA itu atas sumbangan yang beliau berikan kepada TABS. 

"Sebagai orang lama yang terbabit dalam sukan bola sepak, beliau memahami cabaran dan kesukaran TABS SAFA Bandaraya dalam menjalankan program pembangunan bola sepak."

"Justeru TABS sangat menghargai keprihatinan beliau dan sokongan berterusan terhadap program pembangunan sukan bola sepak di Sabah," ujar Lokman.

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan