Ahad, 29 Oktober 2023

ALIJUS SUMBANG BOLA KEPADA TABS SAFA BANDARAYA

SERAH...Alijus (empat kiri) menyerahkan sumbangan itu kepada Lokman sambil disaksikan Amsir, Matasan, Moksin dan Amat.


KOTA KINABALU--Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Alijus Sipil memberi sumbangan bola dan jaring kepada Tunas Asas Bola Sepak Sabah (TABS) SAFA Bandaraya, pagi tadi.

Beliau yang juga penasihat TABS menyerahkan sumbangan itu kepada Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim. 

Turut hadir  pada majlis itu Setiausaha SAFA Bandaraya, Juraidah Abdul Rahim, Setiausaha TABS, Amsir Abdullah, Ketua jurulatih TABS, Matasan Ahmad dan ahli jawatankuasa TABS, Moksin Dusin. 

Menurut Alijus, sumbangan itu sebagai tanda sokongan berterusan beliau terhadap program pembangunan bola sepak akar umbi yang dijalankan TABS SAFA Bandaraya. 

Beliau juga merupakan bekas Presiden SAFA Bandaraya dan bekas Pengerusi TABS sebelum ini. 

Kata beliau, pihaknya berharap program pembangunan bola sepak TABS akan terus berjalan dengan baik kerana ia telah melahirkan ramai pemain-pemain berbakat yang berjaya mewakili pasukan negeri. 

Sementara itu, Lokman mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Naib Presiden SAFA itu atas sumbangan yang beliau berikan kepada TABS. 

"Sebagai orang lama yang terbabit dalam sukan bola sepak, beliau memahami cabaran dan kesukaran TABS SAFA Bandaraya dalam menjalankan program pembangunan bola sepak."

"Justeru TABS sangat menghargai keprihatinan beliau dan sokongan berterusan terhadap program pembangunan sukan bola sepak di Sabah," ujar Lokman.

 

 

TABS TIGERS TERUS UNGGULI TAKHTA B16 LIGA SUPARIMAU

 

Barisan pemain TABS Tigers bersama pengurus pasukan, Ali Omboi (berdiri dua kanan), Lokman, Amsir Abdullah (SU TABS), Moksin Dusin (AJK TABS) dan jurulatih mereka, Rosyamrin dan Arshad.


KOTA KINABALU--TABS Tigers terus mengungguli takhta Liga Suparimau B16 selepas mengharungi enam perlawanan setakat ini termasuk mencapai keputusan seri 1-1 dengan KKFC dalam perlawanan keenam di padang sintetik Kompleks Sukan Likas, pagi tadi (Sabtu).
 

TABS Tigers mengutip 14 mata menerusi empat kemenangan dan dua kali seri. 

Mengekori mereka ialah pasukan KKFC dengan mengumpul 13 mata. 

Pengurus pasukan, Ali Omboi berkata, pihaknya yakin bahawa pemain-pemain akan terus bersemangat untuk mengharungi baki perlawanan untuk mengekalkan kedudukan teratas. 

Katanya, pemain-pemain harus fokus dalam perlawanan berikut bagi memastikan pasukan mencapai keputusan yang baik. 

"Kita harap pasukan sentiasa bermain dengan baik untuk mendapatkan kemenangan seterusnya," katanya ketika ditemui di sini. 

Timbalan Pengerusi TABS Safa Bandaraya, Lokman Sunggim hadir sama pada sesi taklimat ringkas dengan pemain-pemain TABS Tigers selepas perlawanan keenam itu. 

Lokman meminta pasukan itu terus fokus menghadapi tiga lagi baki perlawanan bagi membolehkan mereka mengekalkan kedudukan di tangga teratas dan seterusnya menjuarai kategori B16 liga tersebut. 

"Beri tumpuan setiap baki perlawanan dan meneruskan momentum kemenangan termasuk apabila bertemu pasukan Rhinos minggu depan," tambahnya. 

Jurulatih pasukan, Rosyamrin Wasli berharap pemain-pemain sentiasa bersemangat untuk mengharungi perlawanan seterusnya. 

"Dengan semangat yang tinggi selain fokus dalam setiap perlawanan akan memastikan pasukan akan memperoleh keputusan yang baik," ujarnya. 

Beliau yakin pasukan mampu mengekalkan kedudukan yang baik dalam liga selagi pemain-pemain berjaya mempersembahkan kualiti permainan mereka. 

Dua lagi jurulatih dalam TABS Tigers ialah Rosmadih Wasli dan Muhammad Arshad Masulin.

Kesebelasan utama TABS Tigers.

 

Ahad, 8 Oktober 2023

DUA PASUKAN TABS NAIB JUARA PIALA BORNEO 2023

Pasukan TABS B13 yang menduduki naib juara Piala Borneo Malaysia 2023.

KOTA KINABALU--Dua pasukan TABS SAFA Bandaraya, B16 dan B13 menduduki naib juara Kejohanan Piala Borneo Malaysia 2023 yang berakhir kelmarin (Sabtu).

Pasukan TABS B16 sekadar berpuas hati sebagai naib juara apabila tewas 0-2 kepada KDH Global FC dari Kuala Lumpur di perlawanan akhir kategori umur bawah 16 yang berlangsung di Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Perlawanan itu begitu bermakna kepada TABS kerana mengimbau nostalgia tujuh tahun lepas apabila TABS B16 mara ke final sekali lagi, bezanya ketika itu TABS B16 dinobat sebagai juara katgeori umur tersebut.

Pada waktu itu TABS B16 mengalahkan pasukan DPM (Sekolah Sukan Sabah) 2-0 di perlawanan akhir di Stadium Penampang.

TABS B16 melayakkan diri ke perlawanan akhir setelah menundukkan DPM 5-4 melalui sepakan penalti di separuh akhir.

Manakala pasukan TABS B13 juga menduduki naib juara bagi kategori umur tersebut selepas kalah 0-3 kepada pasukan Makati Football Club (MFC) dari Filipina.

Menurut penolong jurulatih pasukan, Tijani Mokti, kekalahan pasukan disebabkan terpaksa bersaing dengan pasukan yang lebih berpengalaman yang mana pasukan lawan itu merupakan juara dalam kejohanan kebangsaan di negara mereka.

Namun ia bermakna Sabah masih ada bakat yang boleh diketengahkan pada masa hadapan, katanya.

Pasukan TABS B16 juga menduduki naib juara kategori umur tersebut.

Satu lagi pasukan, TABS B15 menduduki tempat ketiga setelah menewaskan pasukan KKFC 3-2 dalam perlawanan penentuan.

Pasukan itu menyaksikan perjuangan yang tidak mengenal putus asa namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila kandas dalam persaingan ke perlawanan akhir dengan pasukan St. George City dari Australia 1-0.

Pasukan TABS B12 pula sekadar menduduki tempat keempat manakala pasukan B11 menduduki tempat keenam.

Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim, berkata secara keseluruhan prestasi pasukan dalam Kejohanan Piala Borneo kali ini boleh dianggap baik kerana mampu memberi saingan kepada pasukan-pasukan dari luar terutama dari Australia, Filipina dan Kuala Lumpur.

Katanya, bagi pihak pengurusan TABS SAFA Bandaraya, beliau mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua jurulatih yang terlibat mengendalikan pasukan masing-masing sepanjang kejohanan tersebut.

 "Komitmen dan usaha mereka membolehkan pasukan kendalian mereka mampu memberi tentangan terhadap pasukan lawan," ujarnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pemain serta pegawai pengurusan pasukan yang menggalas tugas mereka dengan baik.

Pemain-pemain B16 mendengar penerangan daripada coach Bob sambil diperhatikan coach Bobby dan Arshad.