Hassan menunjukkan gambar jersi edisi terhad di telefon bimbitnya.
KOTA KINABALU--Jersi edisi terhad "Malaysia 1980 Retro Copa Malaya" bekas pemain kebangsaan, Datuk Hassan Sani menerima sambutan memberangsangkan daripada kalangan peminat bola sepak di negara ini.
Hassan mendatangani perjanjian dengan Copa Malaya untuk mengeluarkan jersi edisi terhad bernombor 10 itu untuk dijual di pasaran.
Ketika ditemui di sini hari ini, bekas pemain Skuad Olimpik Negara 1980 itu berkata, sebanyak 500 helai jersi berwarna kuning itu dikeluarkan untuk dijual di pasaran selepas dilancarkan di Selangor pada Mei tahun lepas.
"Setelah mencapai persetujuan dengan Copa Malaya, mereka mencetak dan mengeluarkan 500 kotak jersi itu untuk keluaran pertama dijual di pasaran," kata Hassan.
Menurutnya, dalam kotak jersi edisi terhad itu mengandungi pakej seperti sehelai t-shirt tambahan, pelitup muka, pelekat Copa Malaya, rantai kunci dan sijil autentik dijual dengan harga RM189.
Pakej dalam kotak jersi edisi terhad itu.Hassan memberitahu, sehingga ini jersi yang mempunyai tanda tangannya itu memang laris terjual dan pihak Copa Malaya merancang untuk membuat keluaran kedua.
"Namun setakat ini, saya dan pihak Copa Malaysa belum lagi mengadakan perbincangan lanjut mengenainya. Sudah tentu mereka akan memanggil saya untuk tujuan itu," katanya.
Beliau menambah, pihaknya sudah menerima royalti bagi keluaran pertama jersi khas itu tetapi tidak menyatakan jumlah yang diperoleh.
"Bagi keluaran kedua ini, pihak Copa Malaya akan melunaskan royalti yang layak saya peroleh terlebih dahulu sebelum cetakan dilakukan. Itu antara syarat daripada saya," ujar Hassan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan