Edward Lingkapo memberi penerangan kepada Bung Moktar berhubung perkembangan Loji Rawatan Air Telibong Fasa 2 ketika melakukan lawatan mengejut ke loji berkenaan.
TAMPARULI--Gangguan bekalan air yang dihadapi penduduk di kawasan Sepanggar dan sekitarnya dijangka dapat dipulihkan sebaik sahaja Loji Rawatan Air Telibong Fasa 2 beroperasi sepnuhnya tahun depan.
Kawasan terlibat termasuk University Apartment (UA), Bandar Seirra, Taman Rimba Menggatal dan beberapa kawasan berhampiran.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata dengan siapnya loji itu yang akan dapat meningkatkan kapasiti 160 juta liter air sehari (MLD) berbanding hanya 80 juta MLD ketika ini.
Katanya, projek itu tertangguh dari jadual asal penyiapan namun pihak kontraktor telah diberi pelanjutan masa untuk menyiapkannya.
"Kita berharap ia dapat disiapkan seawal tahun 2023 bagi membolehkan masalah bekalan air di kawasan terbabit dapat ditangani segera," katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan mengejut bagi meninjau perkembangan pelaksanaan projek Loji Rawatan Air Telibong Fasa 2 itu, hari ini.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Pengaraj Jabatan Air Negeri Sabah, Edward Lingkapo, pegawai-pegawai kanan jabatan dan konsultan projek tersebut.
Menurut Bung Moktar, pihaknya akan memastikan perkembangan projek itu dari semasa ke semasa dan ingin melihat kesungguhan pihak kontraktor menyiapkan sepenuhnya pada tahun depan.
"Kita bukan mendesak kontraktor pelaksana, kita juga faham situasi sekarang dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)".
"Namun jangan jadikan ia sebagai satu alasan projek ini tidak menampakkan kemajuan," tegas beliau.
Timbalan Ketua Menteri itu berkata, kapasiti air sedia ada ketika ini tidak mampu menampung keperluan pengguna yang meningkat berikutan pertumbuhan pesat di bandaraya Kota Kinabalu menyebabkan ada kawasan mengalami gangguan bekalan air.
Katanya, punca lain gangguan ialah pembinaan projek pembangunan terutama projek jalan raya Pan Borneo, kecurian air dan masalah pencemaran air Sungai Tuaran di mana apabila airnya keruh ia tidak dapat diproses.
Bung Moktar memerhati keadaan loji rawatan air tersebut.Bagi mengatasi masalah air keruh, Bung Moktar menjelaskan, kementeriannya akan melaksanakan pembinaan kolam takungan air sebagai usaha penyelesaian jangka masa panjang.
Sebagai contoh, katanya, Loji Rawatan Air Telibong Fasa 2 kini mempunyai dua kolam takungan air untuk mengatasi masalah air keruh yang tidak dapat diproses.
Beliau menambah, pembinaan kolam takungan air akan diperluaskan di beberapa daerah di negeri ini seperti di Beaufort, Pitas, Sipitang dan daerah-daerah lain.
"Kita akan perincikan perkara ini untuk mendapatkan peruntukan dari kerjaan kerana ia langkah jangka panjang untuk menyelesaikan masalah air yang berlaku di negeri ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan