Selasa, 22 Jun 2021

JELANI DILANTIK PENGARAH BAHARU SABAH FC

Bung Moktar menyampaikan watikah pelantikan kepada Jelani di pejabatnya sambil diperhatikan David.

Seorang peguam, Datuk  Dr. Jelani Hamdan dilantik sebagai Pengarah Sabah FC yang baharu berkuatkuasa 10 Jun lepas.

Jelani yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) mengambil alih tugas itu daripada Setiausaha Agung SAFA, Benedict Asmat.

Watikah pelantikan disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Presiden SAFA kepada Jelani di pejabat Kementerian Kerja Raya (KKR) di Sembulan, kelmarin.

Menurut Bung Moktar, pertukaran pengarah kelab berkenaan bagi membolehkan Sabah FC memberi fokus terhadap saingan dalam Liga Super yang dijadual bersambung semula pada Julai ini.

Ia juga bagi membolehkan Benedict memberi tumpuan terhadap tugasnya sebagai Setiausaha Agung SAFA, katanya.

Beliau berkata, usaha berterusan akan dilakukan untuk memantapkan lagi Sabah FC sebagai sebuah kelab bolasepak yang berdaya saing dan mampu mengembalikan kegemilangan sukan bolasepak di negeri ini.

Sebelum ini, Benedict dilantik sebagai pengarah kelab berkenaan sebaik sahaja Bung Moktar diberi mandat untuk menerajui badan bolasepak negeri itu.

Turut hadir pada majlis penyerahan watikah pelantikan itu ialah Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom.

Sementara itu, Jelani (gambar atas) berkata, pelantikan itu merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu digalas dalam usaha membawa kecemerlangan semula kepada bolasepak di Sabah.

"Saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan dan akan berusaha melakukan yang terbaik untuk Sabah FC," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita SAFA.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan