Selasa, 8 Jun 2021

PENDEKATAN BAHARU TANGANI ISU AIR AGAR TIDAK TERUS BEBANKAN RAKYAT

 

Bung Moktar bersama Edward (tengah) melakukan tinjauan mengejut di Loji Air Beaufort.

BEAUFORT--Sabah memerlukan pendekatan baharu untuk menangani masalah bekalan air bagi membolehkan ia tidak terus membebankan rakyat di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, hari ini. 

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya, berkata ini kerana terlalu banyak masalah yang dihadapi dan ia memerlukan tindakan segera dari pihak kerajaan. 

"Kementerian saya akan mencadangkan kepada kerajaan pendekatan baharu itu agar rakyat akan mendapat bekalan air bersih untuk memastikan kelangsungan hidup mereka," katanya selepas melakukan tinjauan mengejut di Loji Air Beaufort 1 di sini. 

Turut mengiiringi beliau ialah Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Edward Lingkapo dan pegawai-pegawai Jabatan Air Daerah. 

Bung Moktar berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Pengarah JANS mengenai langkah-langkah yang perlu dilakukan menerusi pendekatan baharu itu untuk tindakan kerajaan negeri. 

Menurut beliau, pihaknya akan mengemukakan perkara itu pada mesyuarat kabinet negeri, esok.

Bung Moktar memerhati bagaimana catuan bekalan air dijalankan di daerah berkenaan.

Mengenai dengan masalah air di Beaufort, Timbalan Ketua Menteri itu berkata, beliau dimaklumkan selepas kejadian banjir baru-baru, Loji Air Beaufort 1 tidak dapat memproses air disebabkan pam dimasuki pasir dan lumpur yang mengakibatkan ia mengalami kerosakan. 

"Jika pam rosak, kita perlu mendapatkannya dari Semenanjung atau luar negara. Ia mengambil masa dua atau tiga minggu untuk tiba. Buat masa ini jabatan sedang berusaha memperbaiki satu lagi pam air itu." 

"Mudah-mudahan ia tiada halangan dan kelmarin pun jabatan sedang melakukan ujian dan berharap ia boleh berfungsi dan menghidupkan satu pam di Lojir Air Beaufort 2 yang mampu memproses 25,000 liter air sehari (MLD)," katanya. 

Beliau menambah mungkin dengan tambahan 10 MLD lagi boleh meringankan masalah bekalan air yang dialami di Beaufort ini. 

Namun begitu, jika pam yang satu ini tidak dapat diperbaiki dengan segera maka suasana akan berkekalan begini, ujarnya. 

Bung Moktar juga memberitahu, daripada 84 loji yang ada, 23 loji tidak boleh digunapakai kerana keadaan sungai telah dicemari. 

Katanya, perkara ini pernah beliau nyatakan pada Februari lalu di mana keadaan 10 atau 20 tahun lalu, manusia perlukan pembangunan yang menyebabkan sungai-sungai di negeri ini juga telah mengalami pencemaran teruk. 

"Inilah juga berlaku di Beaufort, apabila loji ini dibina kita tidak terfikir untuk membuat takungan air atau AFS. Situasi yang sama berlaku di Loji Rawatan Air Telibong 1," tambahnya. 

Bagaimanapun beliau menegaskan, "semua ini akan kita bincang agar persiapan dapat dilaksanakan".

 

 

· 

·  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan