Selasa, 29 Jun 2021

AKADEMI BUNG MOKTAR AKAN DILANCAR TIDAK LAMA LAGI

Suhaimi (dua kanan) menyampaikan dokumen cadangan kerjasama dengan MSN kepada Asneh pada perjumpaan itu. Turut kelihatan Azman (kanan sekali) dan David (kiri sekali).

KOTA KINABALU--Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) merancang untuk mewujudkan sebuah akademi bolasepak remaja sebagai langkah untuk mengembangkan sukan itu di negeri ini.

Ia sebagai susulan kerjasama persatuan itu dengan Majlis Sukan Negeri (MSN) dan Jabatan Pendidikan yang sedang berjalan baik ketika ini.

Berikutan itu, satu memorandum persefahaman (MoU) di antara ketiga-tiga pihak dijangka dimeterai dalam masa terdekat.

Naib Presiden SAFA, Suhaimi Haji Nasir, berkata SAFA akan menamakan akademi itu sebagai Akademi Bung Moktar Radin dan akan dilancarkan tidak lama lagi.

Katanya, pewujudan akademi itu adalah yang pertama di Sabah dengan menggunakan nama Presiden SAFA sekarang.

Akademi berkenaan dijangka membabitkan pemain-pemain muda terbaik dari kategori umur 12 hingga 18 tahun.

"Kita akan menetapkan tarikh pelancaran akademi tersebut sebaik sahaja MoU dengan MSN dan Jabatan Pendidikan sudah dimeterai nanti," katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan Pengarah MSN Sabah, Mohd Asneh Mohd Noor di pejabatnya pagi tadi.

Turut hadir pada perjumpaan itu ialah Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar dan Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom.

Suhaimi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik memberitahu, pada dasarnya pihak SAFA, MSN dan Jabatan Pendidikan sudah menyetujui pemeteraian MoU itu.

"Kita dalam proses perbincangan untuk menentukan tarikh sesuai MoU itu dapat dimuktamadkan kerana ia memerlukan persetujuan ketiga-tiga pihak," katanya.

Sementara itu, Azman berkata, sebelum ini perbincangan mengenai kerjasama MSN dan Jabatan Pendidikan sudah diadakan sebanyak tiga kali.

Katanya, pihak SAFA telah mencadangkan beberapa perkara yang memerlukan bantuan MSN dalam soal pembangunan bolasepak memandangkan majlis itu mempunyai pengalaman dalam Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN).

Selain itu, tambahnya, ia juga mempunyai fasiliti seperti padang di samping memiliki pengalaman dalam aspek penganjuran kejohanan bolasepak pelbagai peringkat umur.

"Kami juga mengesyorkan supaya Ketua Jurulatih Remaja Negeri (KJRN) dan penolongnya diserapkan dalam jawatankuasa pembangunan bolasepak persatuan," ujarnya.

Azman berkata, di pihak SAFA pula akan berusaha mengadakan kejohanan peringkat umur seperti bawah 12, 14, 16 dan 18 tahun.

Katanya, kejohanan-kejohanan itu akan dibiayai menggunakan dana dari SAFA selain sokongan MSN.

Pada masa sama, kata beliau, SAFA juga akan membantu usaha ke arah memperkasakan program kejurulatihan di samping turut menyediakan peralatan sukan seperti bola, jaring, kon dan sebagainya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan