Khamis, 10 Jun 2021

PENGALAMAN PERTAMA KAWASAN KEDIAMAN DI BAWAH PKPD

Pemasangan kawat berduri sedang dilakukan bagi pelaksanaan PKPD di Kg Likas.

Ramai tidak menduga bahawa kawasan Kampung Likas di pinggir bandaraya akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) walaupun sejak beberapa hari lepas telah tular di media sosial.

Ramai penduduk tidak pasti malah tertanya-tanya sesama sendiri sehinggalah kenyataan rasmi dikeluarkan kerajaan berhubung penguatkuasaan PKPD di Kg Likas mulai hari ini (10 Jun) hingga 23 Jun ini.

Kg Likas adalah antara tujuh kawasan di Sabah yang dikuatkuasakan PKPD berikutan terdapat pertambahan jangkitan Covid 19.

Lain-lain lokaliti ialah Kg Kebayau, Kota Belud, Kg Batu Layar, Pulau Bangi Kudat, Taman Wawasan Beaufort, Kg Sungai Obar, Batu 7, Sandakan, Fasa 9B Taman Indah Jaya Sandakan dan Flat Indah Jaya, Sandakan.

Secara kebetulan rumah kediaman saya terletak di Lorong Bukut, Jalan Kuala Laut Likas dan dengan penguatkuasaan PKPB ini, kita terpaksa akur dan mematuhi SOP yang ditetapkan pihak kerajaan.

Pada saya secara peribadi, ini adalah pengalaman pertama sejak puluhan tahun menetap di kawasan ini dikenakan PKPD namun sebagai warga yang bertanggungjawab, kita akur dengan apa juga peraturan dan undang-undang yang dilaksanakan kerajaan.

Walaupun ia seolah-olah menjadi situasi yang mengejutkan, tetapi ia juga memberi pengalaman berguna untuk dipelajari terutama dalam membatasi pergerakan, hanya terhad di kawasan kediaman dan sekitar.

Lebih banyak masa duduk di rumah, menghadkan aktiviti dan banyak menghabiskan masa di hadapan televisyen untuk menonton lebih banyak "movies" dan program-program sukan umpamannya.

Pada saya apa pun situasi yang berlaku ke atas diri kita, kawasan kita malah negeri dan negara sekalipun, semua ini tentu ada hikmahnya. Pastinya memberi keinsafan dan pengajaran yang boleh dijadikan ikhtibar.

Saya juga memperoleh satu rakaman video yang dihantar kepada saya oleh seorang sahabat berada di luar Kg Likas menerusi aplikasi whatsapp di mana pihak berkuasa memberi peringatan kepada penduduk supaya duduk di rumah ketika pelaksanaan PKPD ini.

Semua penduduk dikehendaki berada di dalam rumah masing-masing kecuali ada urusan penting dan kecemasan, katanya.

Pihak berkuasa berkenaan juga meminta supaya semua mematuhi arahan-arahan semasa yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kesihatan Malaysia.

"Jika ingkar anda boleh didakwa di mahkamah dan dikenakan tindakan undang-undang," tegasnya.

Sehingga ini, keadaan di sini berjalan baik dan tiada kesukaran untuk mendapatkan barang-barang keperluan harian memandangkan banyak kedai-kedai runcit beroperasi seperti biasa mengikut jangka masa ditetapkan kerjaaan.

Kg Likas memang sangat dikenali dengan banyak kedai runcit tumbuh sebelum ini mungkin kerana adanya permintaan yang meluas daripada penduduk setempat. Rupanya banyak kebaikannya kepada pengguna terutama apabila situasi seperti yang berlaku sekarang.

Sementara itu, saya sempat kongsikan pengalaman yang dilalui seorang wartawan, yang juga secara kebetulan tinggal di lokaliti Kg Likas.

Berikut catatannya yang diviralkan di laman sosial.

Berikutan pelaksananan PKPD di Kg Likas, Kota Kinabalu, pagi ini sepasukan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pasukan penguatkuasaan lain, RELA dan amggota Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melakukan pemasangan pagar kawat berduri sebagai prasyarat menepati keperluan yang ditetapkan. Contohnya di Jalan Haiwan Kg Likas ini, secara kebetulan terletak di belakang kawasan kediaman kami.

Berbeza pengalaman sebagai wartawan puluhan tahun di medan pemberitaan memerhatikan seantero dunia.

Justeru, orang ramai khususnya penduduk setempat ayuh kita kuatkan iltizam untuk mematuhi SOP yang digariskan kerajaan. Ia bukan sahaja untuk kepentingan semua tapi untuk diri sendiri dan keluarga.

Terima kasih penguatkuasa yang namapak bertungkus-lumus sejak dini hari menjayakan amanah yang mereka pikul dengan marhain yang mahu melepaskan sekatan jalan raya yang tentunya ada alasan sendiri. Sesuatu yang bukan mudah. - HMS.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan