Rabu, 30 Jun 2021

SABAH LONGGARKAN SOP LIHAT DI SUDUT POSITIF: TKM

KOTA KINABALU--Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) berkata, tindakan Sabah melonggarkan sebahagian prosedur operasi standard (SOP) dalam melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri ini sewajarnya dilihat di sudut positifnya.

Katanya, keputusan kerajaan negeri itu berlandaskan data dan fakta selain jumlah kes harian jangkitan Covid 19 masih di tahap sederhana berbanding di beberapa negeri di Semenanjung.

"Selaku pemimpin di Sabah, langkah diambil kerajaan negeri itu berpandukan keputusan bersama setelah perbincangan dibuat dan saya berdiri teguh di belakang Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor mengenai keputusannya itu," kata beliau di sini, hari ini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan kementeriannya di Sembulan.

"Namun kita juga tidak menafikan kehendak Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pusat dan sudah pasti kita semua mahu penularan wabak Covid 19 ini dapat dicegah dan dibendung segera," tambah beliau.

Beliau berkata, keputusan melonggarkan sebahagian SOP itu juga bagi mempertingkatkan lagi ekonomi dalam pelbagai industri.

Bagaimanapun, ujarnya, jika ada SOP yang boleh memberi risiko jangkitan Covid 19 tentunya kerajaan negeri tidak akan melonggarkannya.

"Apa yang penting sekarang, kerajaan perlu mempercepatkan vaksinasi kepada seluruh warga Malaysia termasuk di Sabah," tegas beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan