Barisan Nasional (BN) mengalu-alukan titah Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membenarkan Parlimen bersidang dalam tempoh darurat.
Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata, ini membuktikan perkenan Seri Paduka Baginda sebagai ketua negara meletakkan sistem demokrasi berparlimen pada tahap tinggi sekali gus mengutamakan prinsip keluhuran perlembagaan.
"Keputusan baginda ini selari dengan hasrat memelihara peranan 'semak dan imbang' yang dimainkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat dan Dewan Negara," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri mengulas pandangan yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka Baginda bertitath, ini bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.
Menurut Bung Moktar, keputusan itu dibuat setelah Tuanku memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan.
Beliau berkata, ini ada peluang untuk semua Ahli Parlimen mengembalikan kekuatan Parlimen sebagai medan sebenar suara rakyat di peringkat akar umbi yang ketika ini berhadapan dengan suasana getir masalah kesihatan khususnya dengan penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara dan masalah ekonomi yang semakin terjejas.
Katanya, semua Ahli Parlimen tidak kira dari pihak kerajaan mahu pun pihak pembangkang mengambil ruang dan peluang untuk kembali bersidang.
"Mereka boleh membahas secara serius dan positif untuk mencari jalan keluar kemelut ekonomi dan kesihatan awam yang sedang kita hadapi ketika ini," ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Umno Sabah berharap supaya dihentikan sebarang pergeseran ideologi politik dan perebutan kuasa sebaliknya mencari jalan keluar segala kemelut yang dihadapi ketika ini tanpa mengheret rakyat yang sudah berlarutan terbeban dengan situasi yang berlaku sekarang.
Bung Moktar secara peribadi juga menjunjung setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas keprihatinan Seri Paduka Baginda dan mahu demokrasi berparlimen negara terus subur untuk memberi manfaat kepada rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan