Rabu, 10 Februari 2016

OLA BOLA IMBAU KENANGAN HASSAN SANI TERHADAP SKUAD OLIMPIK

IMBAS KEMBALI...Saya menemubual Hassan Sani di Stadium Likas ketika saya masih bertugas dengan sebuah akhbar tempatan selepas satu perlawanan pada awal tahun 90-an. 

Filem Ola Bola yang mengisahkan kejayaan skuad olimpik negara lebih 30 tahun lalu ternyata bukan sahaja mendapat sambutan hangat peminat-peminat bolasepak malah menyentuh perasaan mereka bagaimana kepayahan yang dilalui pemain dalam pasukan tersebut ketika itu.

Ramai berpendapat filem tersebut membuktikan betapa semangat perpaduan mampu dijalinkan melalui sukan bolasepak berikutan pemain-pemain dalam skuad itu melibatkan pelbagai kaum dan latar belakang.

Watak paling menonjol dalam filem itu ialah Chow Kok Keong (Soh Chin Aun), Eric (James Wong) dan Ali (Hassan Sani).

Kira-kira dua bulan lalu sebelum saya berpeluang menonton filem itu, pemain legenda negara, Hassan Sani berpesan supaya saya menonton filem Ola Bola kerana katanya, terdapat watak dia dan rakannya James Wong dalam filem tersebut.

Ini membuatkan saya memang ingin menonton filem arahan Chiu Keng Guan itu apabila ada kesempatan walaupun Hassan sendiri tidak memberi bayangan mengenai sinopsis sebenar filem tersebut.

Ketiga-tiga watak Chow Kok Keong, Eric dan Ali memang menarik perhatian saya termasuk juga watak Muthu (Arumugam).

Barisan pemain skuad olimpik negara pada tahun 1980.

Selepas berpeluang menontonnya, saya kebetulan bertemu Hassan Sani yang suatu ketika dulu pernah diberi jolokan "lipas kudung" kerana aksi pantas dalam permainan. James Wong juga ada bersama namun dia tidak banyak bercakap mengenai kisah mereka dalam filem tersebut.

Menurut Hassan, filem Ola Bola mengembalikan kenangan manis mereka dalam skuad kebangsaan yang berjaya melayakkan diri dalam Sukan Olimpik pada tahun 1980 selepas menewaskan pasukan Korea Selatan 2-1.

Walaupun menerusi filem Ola Bola keputusan permainan 3-2 atas budi bicara pengarah filem tetapi babak dan aksi sepanjang dalam perlawanan tersebut sentiasa mengujakan penonton.

Saya bertanya kepada Hassan kenapa jurulatih pasukan memberikan jersi nombor 10 kepadanya sedangkan biasanya dia menggunakan jersi nombor 9, Hassan menjelaskan, jersi nombor 10 biasanya dipakai oleh Allahyarham Mokhtar Dahari dan tidak ada yang berani menyarung jersi itu jika Mokhtar tidak bermain.

Bagaimanapun katanya, dia bersedia menyarung jersi keramat itu sebab itu jurulatih memberikan jersi nombor 10 kepadanya dalam perlawanan menentang Korea Selatan itu.

"Detik itu memang sangat mendebarkan dan akhirnya kami berjaya melakukan hasil jaringan Bakri Ibni dan James Wong untuk membolehkan Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik Moscow, Russia." Malaysia bagaimanapun terpaksa menarik diri ke sukan tersebut.

Hassan dan James Wong kini kembali dalam pasukan skuad Piala Perdana Sabah 2016 bukan sebagai pemain tetapi sebagai anggota pasukan pengurusan setelah mereka berdua diberi kepercayaan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Sabah menjadi penolong pengurus pasukan.

"Saya dan James berharap dapat membantu skuad Sabah dapat beraksi lebih baik tahun ini dan kami ingin melihat para peminat bersama-sama memberi sokongan kepada pasukan," katanya.
Laporan akhbar Star mengenai gol kemenangan Malaysia hasil jaringan James Wong.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan