Isnin, 20 Oktober 2014

EMPURAU, IKAN SUNGAI TERMAHAL DI DUNIA

Pakar ikan sungai, James Wong (dua dari kiri) bersama YB Limus Jury menunjukkan ikan empurau yang baru diambil dari sangkar di Sungai Manong, Perak.

Siapa sangka ikan sungai sangat bernilai dan menjadi ikan yang paling mahal di dunia. Tetapi itulah realitinya. Ikan Empurau yang asalnya dari Sungai Rajang di Sarawak kini dianggap ikan yang termahal dan paling diminati pelanggan terutama golongan berada.

Ikan empurau kini bukan sahaja diternak di kawasan asalnya di Sarawak tetapi sekarang boleh didapati diternak secara meluas di Projek Ternakan Ikan Sungai dalam sangkar di Manong, Kuala Kangsar, Perak.

Pusat ternakan ikan dalam sangkar itu dimiliki usahawan dari Sibu, Sarawak, James Wong yang juga digelar sebagai "Pakar Ikan Sungai di Malaysia."

Ikan empurau sangat terkenal dengan kebolehannya berenang pantas di kalangan ikan-ikan sungai yang ada di negara ini.

Ikan ini gemar hidup dalam keadaan sungai yang bersih terutama di sungai-sungai di kawasan pedalaman dan pergunungan.

Jika air sungai tempat pembiakannya dicemari, ikan empurau akan meninggalkan tempat itu dan berhijrah ke kawasan sungai yang airnya lebih bersih.

Keistimewaan isi ikan empurau amat lembut dan apabila dimakan, sejenis haruman buah dapat dihidu kerana makanan ikan ini ialah buah-buahan liar seperti "pritimera cambodiana".


Ikan empurau sudah menembusi pasaran antarabangsa, bukti ikan sungai sangat bernilai.

Menurut James Wong, ikan empurau kini sangat diminati pelanggan walaupun harganya mahal iaitu RM1,000 sekilo.

Katanya, ikan ini boleh didapati di beberapa restoran di ibu negara dan kebanyakkan pelanggan yang meminatinya ialah golongan yang berada.

Pakar ikan sungai ini yang telah menerokai pelbagai sungai di pedalaman dan pergunungan negara ini memberitahu, ikan empurau pada tahun pertama diternak hanya boleh mencapai berat 4.5 gram namun pada tahun kedua, ia boleh mencapai berat satu atau dua kilo. Selepas itu pada tahun berikutnya, berat ikan ini boleh mencecah sehingga tiga ke lima kilo.

Katanya, cara ikan empurau dimasak adalah sebaik-baiknya dikukus kerana kehalusan isi dan keharumannya. Sisiknya pula digoreng dan dihidangkan sebagai snek yang sedap.

James yang kini mempunyai tiga pusat penternakan ikan sungai di negara ini berkata, latar belakang kehidupannya di zaman kanak-kanak yang gemar pergi memancing dan menangkap ikan banyak mendorong minat untuk mengusaha dan mempopularkan ikan-ikan sungai di Malaysia.

Melalui kegigihannya mempromosikan ikan-ikan sungai ini, beliau berjaya menjadikan ikan-ikan sungai sebagai satu trend pemakanan ikan bukan sahaja digemari di Malaysia tetapi juga di luar negara.

Katanya, ikan empurau sangat diminati oleh pelanggan di Singapura, Hong Kong, Macau, China dan sebagainya.

"Ikan empurau sememangnya mempunyai daya tarikan yang tersendiri malah menjadi bualan hangat orang ramai dan media," ujar James.
Pusat penternakan ikan sungai dalam sangkar di Sungai Manong, Perak dimiliki James Wong mampu memenuhi pasaran tempatan dan luar negara.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan