Ahad, 19 Oktober 2014

UPKO PERLU SELARI SUASANA POLITIK BARU


Tan Sri Bernard Dompok (tengah) bersama Datuk Dr. Ewon Ebin (tiga dari kiri) dan YB Limus Jury (dua dari kiri).

Ahli Majlis Tertinggi Upko, Limus Jury menyarankan agar kepimpinan tertinggi parti itu menjadikan usaha memperkasakan parti sebagai agenda penting bagi membolehkannya sentiasa relevan dan selari dengan suasana politik baru.

Katanya, beliau yakin barisan kepimpinan Upko sentiasa mengambil kira perkara tersebut selain memiliki iltizam dan kesungguhan untuk mengukuhkan sumber ekonomi parti.

"Dengan suasana politik baru seiring aliran pemikiran golongan muda masa kini menuntut Upko bukan sahaja bersifat pro-aktif, lantang bersuara tetapi juga mempunyai asas kekuatan ekonomi yang mampu mengangkat martabat parti serta membolehkannya teguh berdiri," katanya ketika berucap pada Konvensyen Zon D yang membabitkan bahagian Beaufort, Kimanis dan Papar di Dewan Shahbandar Makang di sini, Sabtu lepas.

Konvensyen sehari itu dirasmikan Presiden Kehormat Upko, Tan Sri Bernard Dompok. Pemangku Presiden, Datuk Wilfred Madius Tangau tidak menghadiri majlis itu kerana berada di Perak untuk merasmikan konvensyen serupa di negeri itu.

Turut hadir ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Ewon Ebin.

Limus yang juga Ketua Bahagian Upko Beaufort dan Adun kawasan Kuala Penyu, berkata dengan memiliki kekuatan, Upko sudah tentu mampu mendepani setiap kemelut, gelombang dan badai politik yang lazimnya tidak mengira waktu dan ketika.

Sambil menyatakan bahawa pandangannya adalah ikhlas dan berharap tiada pihak yang menyalahtafsir, beliau menegaskan, "sejujurnya niat di hati saya mahu melihat Upko dapat diperkasakan dan dihormati parti-parti lain dalam Barisan Nasional."

"Kita mahu Upko menjadi parti yang menyumbang dan bukan beban kepada Barisan Nasional dan kerajaan," katanya.

Menurut beliau, sejak 1994, parti itu telah melalui banyak ranjau dan duri dalam perjuangan. Namun dengan kebijaksanaan, komitmen serta titisan keringat yang dicurahkan kepimpinan terdahulu berupaya menyerlahkan Upko di persada politik nasional hingga ke hari ini.

Justeru, beliau mengajak pemimpin dan ahli-ahli Upko meneruskan perjuangan dengan semangat membara agar parti itu menjadi payung untuk membela nasib rakyat tanpa mengira latar belakang dan warna kulit.
Sebahagian peserta yang menghadiri Konvensyen Upko Zon D babitkan bahagian Beaufort, Kimanis dan Papar.

Berikut teks penuh ucapan beliau;


Selamat pagi, salam sejahtera dan salam 1Malaysia. 

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua perwakilan dan pemerhati ke konvensyen melibatkan gabungan tiga bahagian iaitu Beaufort, Kimanis dan Papar pada pagi ini.

Dalam kesempatan ini, saya juga ingin menyampaikan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih terutama sekali kepada Presiden Kehormat parti kita, YBhg Tan Sri Bernard Dompok kerana sudi meluangkan masa bersama-sama kita pada pagi ini dan seterusnya sudi menyempurnakan perasmian konvensyen ini.

Kita sedar dan percaya bahawa YBhg Tan Sri sentiasa sibuk dengan rutin harian beliau namun kita sungguh berasa terharu dan gembira kerana beliau dapat juga mengisi ruang bagi memenuhi undangan untuk melakukan perasmian majlis kita pada hari ini.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada YBgh Tan Sri walaupun sepatutnya Tan Sri berada di sebalik tadbir Upko selepas peralihan kepimpinan parti tetapi kerana  semangat dan komitmen tinggi  beliau terhadap parti ini maka ternyata tiada halangan bagi beliau untuk bersama-sama dengan kita pada hari ini berhimpun di Dewan Shahbandar Makang ini.



Para perwakilan dan pemerhati sekalian, 

Sesungguhnya jasa dan sumbangan YBhg Tan Sri selepas sekian lama menerajui kepimpinan Upko sebelum mengambil keputusan untuk menyerahkan teraju kepimpinan parti kepada Pemangku Presiden, YB Datuk Wilfred Madius Tangau begitu banyak sekali sehingga membolehkan Upko bukan sahaja mampu bertahan sehingga kini malah turut menabur jasa bakti dan sumbangan bukan sahaja kepada ahli-ahli Upko malah kepada rakyat Sabah secara keseluruhannya.

Lebih daripada itu, kita juga mengingati bahawa YBhg Tan Sri juga telah menjalankan perkhidmatan yang amat cemerlang semasa menjadi anggota kabinet dalam kerajaan dan ini secara tidak langsung menjadikan parti Upko sentiasa diberi peranan bersama dengan rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional khususnya dalam menangani isu-isu dan permasalahan yang membabitkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Dalam hubungan ini, sesungguhnya adalah menjadi tanggungjawab besar kepada kita semua termasuk pemimpin, seluruh ahli dan penyokong Upko untuk meneruskan perjuangan parti  yang murni ini.

Sebagai pendokong dalam parti, kitalah yang akan menentukan hala tuju parti ini mulai saat ini dan seterusnya. Setelah landasan yang kukuh disediakan oleh kepimpinan terdahulu, maka kitalah yang akan memastikan kesinambungan parti ini supaya terus relevan dan terus berkhidmat serta melakukan yang terbaik kepada rakyat.



Sidang hadirin sekalian, 

Oleh kerana itu, saya suka menarik perhatian di sini bahawa sudah tiba masanya semua kita di dalam parti ini baik pemimpin di semua peringkat mahu pun ahli-ahli dan penyokong di peringkat akar umbi seharusnya melupakan sebarang pergeseran dan salah faham semasa pemilihan kepimpinan tertinggi parti sebelum ini.

Kita harus berusaha mengikis segala perasaan dalam hati yang boleh mengundang elemen perpecahan sesama kita di dalam parti. Apa yang sangat penting ialah kita seharusnya menyemai perasaan harmoni untuk bersama-sama berganding bahu demi memperkasakan Upko dalam apa juga keadaan sekalipun. Ini menjadi satu tuntutan kepada kita semua untuk mengembalikan semangat “misompuru” dalam suasana yang positif dan mesra.

Saya percaya dan penuh yakin bahawa semua peringkat kepimpinan serta seluruh ahli-ahli dan penyokong parti dari segenap pelusuk mampu melupakan sebarang persaingan ketika kempen pemilihan yang lalu.

Marilah kita sama-sama melangkah ke era baru dengan satu tekad dan semangat baru untuk penyatuan tulin di dalam parti yang kita sayangi ini. Yang berlalu biarlah berlalu, bak kata orang; “barang yang lepas janganlah dikenang”. Sebaliknya kita harus terus bergerak ke hadapan dan memastikan kita semua kembali bersatu dengan membulatkan tekad untuk memastikan kekuatan parti.

Sebagai sebuah parti yang telah sekian lama, kita sama-sama perjuangkan, kita harus meletakkan Upko ini di tempat yang sewajarnya, mengatasi segala perasaan remeh-temeh yang boleh membawa perpecahan sesama kita.

Penyatuan ini dengan diiringi rasa keikhlasan sejati akan menjadi asas kita untuk terus memperkasakan parti agar sentiasa relevan dan mampu mendepani segala cabaran dan dugaan yang datang.

Selain daripada landasan penyatuan ini, saya juga percaya bahawa Upko harus berani melakukan transformasi terutama dari segi pendekatan agar bersifat lebih sederhana dan pada masa yang sama perlu berani meneroka peluang-peluang yang dapat mengukuh sumber ekonomi parti.

Pendekatan yang sesuai dan kesederhanaan dalam setiap tindakan bukan bermaksud kita harus menjadi “pak turut” atau rela menjadi “yes man” sahaja, tetapi ia sekurang-kurangnya memudahkan parti memainkan peranannya menyampaikan segala kekurangan dan keperluan parti di samping masalah- masalah rakyat sama ada di peringkat kerajaan negeri mahu pun di peringkat kerajaan pusat berlandaskan prinsip menang-menang.



Para perwakilan yang dihormati sekalian, 

Untuk membolehkan parti Upko sentiasa relevan dengan suasana politik baru, mahu tidak mahu hakikatnya kita juga perlu mempunyai kekuatan ekonomi bagi kelancaran pengurusan dan pentadbiran parti di semua peringkat.

Sebab itu, saya berpandangan bahawa parti juga harus mengambil kira dan memberi keutamaan untuk mencari sumber kewangan yang kukuh untuk membolehkan Upko dapat terus bertahan malah dapat berdiri sama tinggi dengan rakan-rakan lain dalam komponen Barisan Nasional.

Barisan kepimpinan tertinggi parti, saya percaya sentiasa memikirkan hal ini sebagai satu agenda yang penting di samping memiliki iltizam dan kesungguhan untuk meneroka serta mencari peluang-peluang yang mampu menghasilkan sumber ekonomi kepada parti.

Saya melihat bahawa semangat penyatuan yang jitu dalam kalangan pemimpin, ahli-ahli dan penyokong serta pengukuhan sumber ekonomi dalam parti menjadi dua faktor utama yang mampu memastikan kekuatan dan hala tuju parti ini pada masa akan datang.

Dengan suasana politik baru seiiring dengan aliran pemikiran golongan muda dan lanskap politik yang berlaku dalam negara sekarang sebenarnya menuntut parti Upko selain daripada parti-parti lain juga, bukan sahaja bersifat lebih pro-aktif, lantang bersuara, relevan tetapi juga mempunyai asas kekuatan ekonomi untuk membolehkan ia teguh berdiri dan seterusnya memacu wadah perjuangan yang dicanang selama ini.

Ini semua akan menjadikan Upko sentiasa memiliki kekuatan yang berupaya mendepani setiap kemelut, gelombang dan badai politik yang lazimnya tidak mengira waktu dan ketika. Inilah realitinya, kita harus ada keupayaan dalam mengharungi iklim politik baru yang berpaksikan aspirasi generasi muda masa kini.

Tidak setakat itu sahaja, dengan mempunyai kedudukan ekonomi yang baik dan kukuh, sesebuah parti sudah tentu akan mampu ditadbir urus dengan berkesan di semua peringkat baik di peringkat pusat, bahagian-bahagian mahu pun cawangan. Ini dengan sendirinya sudah tentu akan menambah keyakinan dan semangat kepada ahli-ahli serta penyokong di peringkat akar umbi yang menjadi tunjang kepada kekuatan parti.

Pada masa yang sama, ini juga akan mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh bahagian-bahagian sekali gus merangsang mereka untuk bekerja lebih kuat dan selesa kepada parti.



Tuan-tuan danpuan-puan yang dihormati sekalian, 

Pandangan yang saya ilhamkan pada konvensyen kita pada pagi ini, adalah ikhlas dan saya berharap tidak ada pihak yang menyalah-tafsirkannya. Sejujurnya niat dalam hati saya ialah mahu melihat Upko ini dapat diperkasakan dan pada masa yang sama dihormati oleh parti-parti lain dalam Barisan Nasional.

Kita mahu Upko ini menjadi  “parti yang menyumbang” dan bukannya “beban” kepada Barisan Nasional dan kerajaan. Sesungguhnya dengan pengalaman yang ada dalam kalangan barisan kepimpinan dalam parti ketika ini adalah tidak mustahil, semua usaha dan tenaga pasti dapat digemblengkan ke arah impian untuk memperkasakan survival parti boleh dilaksanakan dengan jayanya.

Sejarah telah membuktikan bahawa parti ini yang asal penubuhannya pada tahun 1994 dikenali sebagai Parti Demokraktik Sabah atau singkatannya PDS dan kemudian dijenamakan semula dengan nama Upko telah melalui banyak ranjau dan duri dalam perjuangannya. Namun begitu dengan kebijaksanaan, komitmen serta titisan keringat yang dicurahkan barisan kepimpinan terdahulu berupaya menyerlahkan Upko dalam persada politik nasional hingga ke hari ini.

Justeru, ayuh..., saya mengajak saudara-saudari sekalian, marilah kita bersama-sama meneruskan perjuangan ini dengan semangat membara agar Upko menjadi payung kepada kita untuk mempertahan dan membela nasib rakyat tanpa mengira latar belakang dan warna kulit.



Sidang hadirin sekalian, 

Konvensyen kita pagi ini yang melibatkan gabungan tiga bahagian, Beaufort, Kimanis dan Papar boleh menjadi landasan terbaik kepada pemimpin dan ahli-ahli untuk bermuhasabah, menyemak semula dan memperbaiki diri, memangkin iltizam, berusaha merungkai setiap kemelut serta menjadi perintis jalan ke arah penyatuan di samping memastikan hala tuju parti berada di landasan yang betul.

Kita juga amat mengharapkan percambahan buah fikiran disertai dengan idea dan input-input baru menerusi konvensyen ini mampu merealisasikan usaha memperkasakan survival Upko dari sekarang dan seterusnya.

Sebagai kesimpulan, kekuatan dan masa hadapan parti kita ini, semua bergantung atas kesungguhan, komitmen serta kebijaksanaan kita semua selaku nadi penggerak dan pendokong utama parti untuk menempatkannya di tengah-tengah puncak perjuangan yang sebenar.

Sebelum menutup tirai bicara, saya akhiri dengan dua buah pantun; 

Dari kota ke pergunungan

Bawa keladi buat bekalan

Kata-kata saya sekadar pandangan

Jika baik jadikan panduan





Meluahkan rasa di dalam kad

Tanda rindu bukan kepalang

Satukan hati bulatkan tekad

Barulah Upko tambah gemilang 

Sekian dan terima kasih.














Tiada ulasan:

Catat Ulasan