Gambar atas: Sebahagian rangka rumah panjang yang digunakan untuk merayakan Pesta Basal yang terakhir pada tahun 70-an. Gambar bawah: Mendiang Itan menceritakan pengalaman mengadakan Pesta Basal sebelum beliau meninggal dunia.
Hidangan makanan ini disediakan dipercayai bagi menjamu roh manusia yang meninggal dunia dan biasanya dilakukan pada upacara moginum suku kaum Kadazandusun Tatana.
Basal atau disebut juga sebagai Pesta Basal merupakan perayaan adat-istiadat suku kaum Kadazandusun Tatana di daerah Kuala Penyu yang sememangnya begitu sinonim dengan kaum berkenaan.
Walaupun adat istiadat ini sudah luput ditelan zaman namun ia sentiasa menjadi nostalgia masyarakat tersebut.
Malah sehingga kini, keunikan perayaan itu masih menarik perhatian generasi baru suku kaum Tatana meskipun mereka hanya mendapat gambaran melalui penceritaan daripada generasi terdahulu yang pernah mengamalkannya.
Keistimewaan mengenai perayaan itu menjadi ukuran yang usaha-usaha untuk menghidupkan semula adat-istiadat ini agak menyulitkan bagi genarasi baru suku kaum tersebut.
Bahkan apabila disebut sahaja mengenai perayaan ini, masyarakat yang mempraktiknya sebelum ini terutama golongan generasi baru yang berfikiran moden mungkin akan mudah mencari alasan untuk mempertikaikannya.
Pesta Basal sebenarnya adalah lebih berbentuk “Pesta korban” daripada perayaan biasa semata-mata kerana ia membabitkan nyawa manusia. Soalnya, sekarang, apakah ada tanda-tanda perayaan ini telah mengalami perubahan sehingga ada tolak ansur di segi pelanggaran adat resam yang mengerikan itu.
Seorang nenek, Itan Lawala yang pernah terbabit dalam perayaan itu semasa hayatnya (sudah meninggal dunia) mengakui bahawa perayaan tradisi ini merupakan sesuatu yang unik dan ia hanya diamalkan oleh masyarakat Tattana di daerah Kuala Penyu.
Katanya, Pesta Basal merupakan perayaan secara besar-besaran dan sangat meriah. Ia dirayakan bersama oleh semua masyarakat berbilang kaum di daerah berkenaan sungguhpun ia perayaan yang menjadi warisan suku kaum Tatana.
Sekalipun barangkali terlalu sukar untuk membuat penelitian mendalam mengenai kelengkapan dan keperluan yang seolah-olah wajib dalam perayaan ini, tetapi memadai jika disebut iaitu sebuah rumah panjang, tujuh ekor kerbau, sehelai bendera yang dipacakkan di sebatang kayu yang dipanggil “Talibadak” dan 14 orang anak muda termasuk tujuh pemuda tampan dan tujuh gadis jelita yang dipanggil Anak Sosodom menjadi keperluan yang amat mustahak.
Bahan-bahan lain termasuk 10 karung beras pulut untuk dijadikan tapai (sejenis minuman keras), seekor kambing berbuluh hitam, seekor ayam berbuluh songsang dan kunyit untuk mewarnakan beras kuning.
Rumah panjang yang menjadi pusat utama bagi merayakan Pesta Basal ini mempunyai tujuh ‘selang’. Menurut kepercayaan, selang-selang tersebut merupakan perhiasan bagi mengindahkan suasana rumah panjang tersebut.
Di bahagian ruang dalam rumah panjang itu, ia dihiasai indah dengan ukiran yang melambangkan corak kehidupan masyarakat Tatana. Sebahagian besar ruangnya lapang kerana kawasan tersebut akan dijadikan ruang untuk mengadakan persembahan tarian secara beramai-ramai.
Di ruang tengahnya, diletakkan sebuah tempayan besar, saiznya sebesar sebuah perigi yang diisikan dengan tapai. Ia dikenali sebagai “Takasan”. Air Takasan itu akan ditambah setiap hari dengan air tapai yang dibuat dalam tempayan lain yang lebih kecil. Sambil meminum air tapai dari Takasan itu menggunakan saluran buluh kecil, orang ramai akan menari tarian sumayau mengelilingi Takasan.
Dalam suasana yang penuh keriuhan, orang ramai terbabit akan dibahagikan kepada tiga kumpulan sambil menyanyikan tiga jenis rangkap lagu.
Kumpulan pertama, Anak Sosodom lelaki menyanyikan rangkap lagu berbunyi;
“siburarang-burarang bunsut saging bongkuang,
ada kou raring jami mombunsut saging muyun”
Kumpulan kedua, yang membabitkan Anak Sosodom perempuan menjawab;
“iada muyun bunsut, mokolilou kumuyun,
momuruk-muruk todung, tanda anak pouma”
Manakala kumpulan ketiga yang terdiri daripada orang yang sumayau dikeliling Takasan akan menyanyikan rangkap lagu;
“baka-baka purimba, mokokuduliang madi, tanda anak pouma”
Persembahan sumayau mengelilingi Takasan kemudian disusuli dengan acara lumandai iaitu acara untuk pembukaan memukul gendang dengan diiringi dengan kata-kata mentera dan jampi serapah. Ia merupakan pesanan yang dikirim melalui bunyi pukulan gendang yang dipercayai akan dapat memasuki tempat-tempat yang “diubati” untuk memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada penduduk terlibat.
Perayaan ini lazimnya akan berlangsung selama tujuh hari tujuh malam. Sebagai pembuka tirai, adat “Moginum” akan diadakan pada malam pertama. Pada ketika itu, “kolombigi” iaitu sejenis bahan campuran daging kambing, ayam dan beras kuning disediakan dan disimpan di rumah panjang. Bahan itu akan diagih-agihkan kepada orang ramai pada kemuncak perayaan tersebut.
Sepanjang tujuh malam berturut-turut, orang ramai juga akan berpusu-pusu untuk terus mengelilingi Takasan di rumah panjang tersebut. Sambil mengambil kesempatan meminum air tapai yang disediakan di dalam tempayan berkenaan, orang ramai juga akan menyerikan lagi suasana dengan pelbagai gelagat seperti menari sambil memekik-memekik tanda keriangan.
Di sebelah hujung rumah panjang itu, terdapat sebuah bilik yang dianggap ‘keramat’. Ia dihiasi dengan pelbagai jenis tengkorak manusia, yang menurut kepercayaan suku kaum tersebut, merupakan mangsa korban selain terdapat keris pusaka atau dipanggil “elang” turut disimpan di situ sepanjang perayaan.
Bilik itu diawasi oleh beberapa orang tua yang berpengalaman mengenai adat-istiadat. Tugas mereka ialah untuk memastikan kanak-kanak tidak memasuki bilik tersebut kerana kanak-kanak dilarang untuk memasuki kawasan itu bagi mengelak terkena sumpahan.
Berbeza dengan perayaan adat-istiadat Kadazandusun yang lain, Pesta Basal ini lebih mirip kepada pesta korban di rumah panjang meskipun ia hanya elemen sampingan dalam intipati adat perayaan itu.
Bagaimanapun fungsi sebenar pesta itu ialah sebagai satu adat tradisi bagi membersih atau memulihkan keadaan duniawi, yang menurut kepercayaan masyarakat Tatana, dipenuhi dengan perbuatan sumbang, kesengsaraan yang dialami penduduk akibat sikap dan perbuatan manusia.
Perbuatan sumbang itu biasanya dikaitkan dengan perbuatan maksiat, kekacauan, mencuri, jenayah dan bermacam-macam lagi yang dikutuk oleh Tuhan atau “Minamangun” yang disebut oleh masyarakat Kadazandusun. Apabila perayaan itu diadakan maka segala kejahatan dan bencana buruk yang menimpa akan dapat dipulihkan oleh “Minamangun”.
Menurut penceritaan nenek Itan, sewaktu pesta itu dirayakan selama seminggu dengan mengorbankan tujuh ekor kerbau sebagai jamuan. Anehnya dalam jangka masa itu juga, orang ramai yang terlibat menjayakan perayaan itu tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja harian.
Keadaan itu sangat dititik-beratkan kerana ia menggambarkan kesetiaan dan penghormatan mereka terhadap perjalanan perayaan itu. Orang ramai yang menghadirinya juga harus bersikap mulia dan beradab bagi menghindari perkara-perkara buruk menimpa. Jika mereka tersilap atau kebetulan mereka didapati mengusik anak-anak gadis umpamanya, mereka tidak mungkin dapat melepaskan diri tanpa memberi alasan.
Walau apapun bentuk alasan yang diberikan, orang-orang tertentu yang bertanggungjawab terhadap pesta itu pasti akan menjalankan kewajipan mereka iaitu menjalankan hukuman bunuh kepada mereka yang didapati melakukan kesalahan termasuk melanggar peraturan yang ditetapkan dalam adat-istiadat itu.
Nenek Itan tidak menafikan bahawa kejadian menjatuhi hukuman maut kepada pesalah sering dilakukan dalam perayaan Pesta Basal ini pada masa silam.
Sambil menyingkap kembali peristiwa yang mengerikan itu, beliau berkata, “hukuman itu biasanya dilakukan tanpa sebarang pertimbangan.”
Dalam erti kata lain, pesalah tidak akan diberi peluang untuk memohon keampunan dan hukuman bunuh itu mesti dilakukan sebagai membuktikan bahawa hukuman itu paling ketat dan tidak boleh dipersendakan.
Menurut beliau, segala tugasan untuk menjalankan hukuman itu akan disempurnakan oleh mereka yang terpilih sahaja berpandukan pengalaman, kemahiran dan kepercayaan yang diberikan.
Mereka yang menerima hukuman itu akan menghadapi maut sama ada dicincang lumat atau disimpan dalam sebuah bubuh dan kemudiannya dihanyutkan ke sungai atau laut, katanya.
Mungkin kerana peristiwa silam yang memaparkan betapa dasyatnya kisah Pesta Basal menjadikan perayaan ini sukar dipadamkan dari ingatan suku kaum Tatana yang pernah mengamalkannya.
Nenek Itan memberitahu, kali terakhir pesta itu diadakan di sekitar tahun 1970-an di Kampung Kayul kira-kira tujuh kilometer dari pekan Kuala Penyu tetapi tidak seorangpun yang menerima hukuman serupa itu.
Tujuh ekor kerbau yang dikorbankan sepanjang seminggu perayaan itu berlangsung. Ini bermakna setiap hari, seekor kerbau akan disembelih untuk jamuan makan, Jamuan secara beramai-ramai itu berterusan selama tujuh malam berturut-turut.
Upacara pemujaan ringkas turut dijalankan. Suasana itu dapat dilihat terutama pada malam pertama dan ia hanya dihadiri oleh orang-orang tua tertentu sahaja. Pada malam-malam berikutnya, orang ramai digalakkan menjamu selera masing-masing dengan makanan yang disediakan.
Pesta itu juga memerlukan khidmat sekumpulan “Anak Sosodom”. Mereka ini akan berperanan sebagai perhiasan dan ‘orang perantaraan’. Anak Sosodom terdiri daripada tujuh pemuda tampan dan tujuh gadis jelita. Mereka ini dikehendaki berada di salah satu ruang yang berhadapan dengan pintu rumah panjang. Mereka seolah-olah menjadi perhiasan sepanjang malam pertama. Anak-anak gadis itu kelihatan seperti bidadari dari kayangan kerana mereka lengkap dihiasai dengan pakaian suku kaum yang penuh dengan manik-manik berwarna-warni.
Di hadapan Anak-Anak Sosodom itu terhidang bermacam-macam jenis makanan yang diletakkan di atas dulang. Cahaya lilin yang berkilauan menyerikan suasana. Hidangan makanan yang berlambak kadangkala membuatkan mereka yang melihatnya berasa gerun. Begitupun, tidak terlalu janggal jika terdetik perasaan sedemikian kerana sesungguhnya hidangan itu sendiri adalah bermotifkan untuk menjamu roh-roh manusia yang telah mati dalam pesta itu pada zaman lampau.
Bagi Anak-Anak Sosodom yang ditugaskan sebagai perhiasan di kawasan hamparan hidangan itu sedikitpun tidak menunjukkan rasa takut. Ini kerana cara untuk memilih mereka itu bukanlah dibuat secara sewenang-wenangnya.
Untuk mendapatkan Anak Sosodom ini, orang tertentu yang diarah oleh pengendali Pesta Basal itu akan menggunakan paksaan untuk mereka menggalas tugasan itu. Pemuda-pemuda tampan dan gadis-gadis jelita akan dipaksa melalui tangkapan yang dilakukan oleh pertugas-pertugas yang diamanahkan. Ini dilakukan beberapa hari, mungkin juga berminggu sebelum pesta itu bermula.
Apabila mereka ditangkap secara rasmi, mereka tidak boleh menolak kerana jika berbuat demikian nescaya sesuatu musibah akan menimpa mereka.
Pada kemuncak Pesta Basal ini diadakan upacara penebangan bendera yang dipanggil Talibadak yang dianggarkan pada ketinggian sekitar 20 meter. Bendera itu ditegakkan berhadapan dengan rumah panjang dan di pagar. Pagar khas itu akan dikawal oleh dua orang penjaga.
Dalam pagar itu terdapat hidangan hati kambing dan hati lembu. Kawasan pagar itu akan dijadikan kawasan “Pisangadan” atau tapak perlawanan. Di situ didapati diletakkan “elang” sejenis kering besar yang digunakan untuk upacara “menyongog” atau berlawan. Elang itu yang dihiasi dengan rambut panjang yang dipanggil “Sinogumba”, menandakan pengorbanan nyawa manusia.
Upacara penebangan itu pula dilakukan oleh bomoh-bomoh dan hanya boleh dihadiri oleh orang-orang tua. Kanak-kanak ditegah sama sekali menyaksikan upacara itu kerana dipercayai akan mendapat sial.
Upacara itu sangat penting kerana ia bertujuan memastikan orang ramai tidak mendapat sebarang peristiwa buruk sepanjang sambutan pesta itu. Manakala cebisan bendera yang dikoyakkan untuk membungkus “kolombingi” yang merupakan bahan campuran daging kambing dan ayam yang dicincang dicampurkan dengan beras kuning.
Kolombingi itu akan dibahagi-bahagikan dengan orang ramai untuk dibawa pulang ke rumah. Bahan itu kemudian akan ditaburkan ke sawah padi atau ladang-ladang pertanian masing-masing untuk menghasilkan tuaian yang lumayan.
Tujuh pasangan Anak Sosodom akan ditamatkan tugasan mereka dengan dikehendaki berjalan mengelilingi rumah panjang sambil berdoa agar kawasan mereka yang sebelumnya mengalami pelbagai bencana akan dapat dibersihkan daripada segala kejahatan dan keburukan. Upacara ini dipanggil “Monyoloud” dengan harapan bahawa kawasan mereka akan dapat dipulihkan kembali dan dilimpahi rezeki oleh Tuhan.
Ia disusuli dengan upacara yang dipanggil “Momuroh”. Pasangan Anak Sosodom itu akan disemburkan dengan “Inggat” iaitu buah pinang yang dikunyah dengan kapur, sirih dan halia. Selepas disembur dengan Inggat, mereka akan diminta untuk pergi mandi. Pada ketika itu, mereka akan saling bersiraman di antara satu dengan yang lain.
Manakala pokok Talibadak, tempat memacak bendera itu sebaik sahaja tumbang ke tanah kemudian akan disemadikan menandakan berakhirnya perayaan tersebut.
Hakikatnya Pesta Basal ini lebih merupakan satu perayaan adat semata-mata dan ia juga boleh dianggap sebagai budaya “aneh” yang diwarisi oleh suku kaum Kadazandusun Tatana.
Meskipun pesta ini tidak mungkin dapat dihidupkan semula tetapi perayaan terakhir yang diadakan lebih 30 tahun lalu itu setidak-tidaknya telah memberi peluang kepada orang ramai menyelami sendiri tentang keunikan dan rashia di sebalik perayaan tersebut.
Seorang bobolian (bomoh) lelaki suku kaum Kadazandusun Tatana, Putak Basah yang biasa mengetuai acara menari tarian sumayau pada upacara moginum dijalankan.
Saudara... Saya antara generasi dusun tatana yang tidak pernah mengetahui kewujudan Pesta Basal, sekalipun dikenali sebagai pesta tetapi pada pengamatan saya setelah membaca tulisan saudara ianya lebih kepada adat dusun tatana pada ketika itu. Usaha saudara ini telah menambah pengetahuan saya berkaitan adat istiadat dusun tatana. Sesungguhnya kita bertuah, sabah sangat kaya dengan keunikan budaya dan adat khususnya dusun tatana itu sendiri.
BalasPadamsaya juga di antara generasi muda dusun tatana Kuala penyu.saya amat terkejut apa bila membaca tulisan saudara yang selama ini saya sangka kan pesta basal@moginum ini hanya sekadar biasa biasa saja.rupa rupanya jauh lebih mendalam daripada APA yang saya tahu.tulisan atau ulasan saudara ini telah menambah lebih banyak pengatahuan saya tentang adat kaum dusun tatana di Kuala penyu ini.saya rasa saya sangat berbanga menjadi orang dusun tatana Kuala penyu kerana dengan keunikan adat istiadat di dareah ini.itakau ulun tatana onjo takau liuie nunu yang pinatuun no nenek muyang takau tarutama sakali itakau genarasi bagu.sekian
Padamsaya juga di antara generasi muda dusun tatana Kuala penyu.saya amat terkejut apa bila membaca tulisan saudara yang selama ini saya sangka kan pesta basal@moginum ini hanya sekadar biasa biasa saja.rupa rupanya jauh lebih mendalam daripada APA yang saya tahu.tulisan atau ulasan saudara ini telah menambah lebih banyak pengatahuan saya tentang adat kaum dusun tatana di Kuala penyu ini.saya rasa saya sangat berbanga menjadi orang dusun tatana Kuala penyu kerana dengan keunikan adat istiadat di dareah ini.itakau ulun tatana onjo takau liuie nunu yang pinatuun no nenek muyang takau tarutama sakali itakau genarasi bagu.sekian
Padamsaya juga di antara generasi muda dusun tatana Kuala penyu.saya amat terkejut apa bila membaca tulisan saudara yang selama ini saya sangka kan pesta basal@moginum ini hanya sekadar biasa biasa saja.rupa rupanya jauh lebih mendalam daripada APA yang saya tahu.tulisan atau ulasan saudara ini telah menambah lebih banyak pengatahuan saya tentang adat kaum dusun tatana di Kuala penyu ini.saya rasa saya sangat berbanga menjadi orang dusun tatana Kuala penyu kerana dengan keunikan adat istiadat di dareah ini.itakau ulun tatana onjo takau liuie nunu yang pinatuun no nenek muyang takau tarutama sakali itakau genarasi bagu.sekian
PadamRalat dalam artikel.
BalasPadam"elang" atau kering besar sepatutnya keris besar.
rashia ejaan betul rahsia.
Taahniah Tompinai Lokman Sunggim atas usaha kamu mengkaji,merakam dan terus di sharing dengan masyrakat ramai, upacara Pesta Basal@Moginum, yang satu ketika pernah di cerita olih isteri saya dia berasal Tatana Kuala Penyu ;
BalasPadamTerima kasih juga atas usaha kamu saperti begini, tidak lah hilang semuanya ceritacara maupun serpihan budaya2 Borneo asli kita - Monsoi om Kopiwosian !
monsoi..
BalasPadam