Ahad, 8 Januari 2012

DOMPOK: JEFFREY SEKADAR MENGEJAR MIMPI

 Dompok bersalaman dengan peniaga di Lido, Penampang ketika melakukan lawatan sempena menjelangnya perayaan Tahun Baru Cina.
DR JEFFREY...sentiasa berhasrat ketuai parti sendiri. 

Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok berkata, beliau tidak terkejut bahawa Datuk Dr Jefrrey G. Kitingan akhirnya berjaya memenuhi impian untuk mengetuai pertubuhan politik di Sabah dengan pelantikannya mengetuai Parti Reformasi Negeri (Star) bagi cabang parti itu di negeri ini.

Dompok berkata, “memang sentiasa menjadi hasrat beliau (Jeffrey) untuk menjadi presiden partinya sendiri dan saya percaya beliau telah melakukannya. Selebihnya serahkan sahaja kepada rakyat.”

“Kita semua di dalam parti kita telah menunjukkan kepada rakyat bagaimana kita bekerja selama ini dan kita harus diadili berdasarkan merit,” kata beliau selepas melakukan lawatan sempena menjelangnya musim perayaan Tahun Baru Cina di pekan Donggongon, Penampang di sini.

Berpusat di Sarawak, Star secara rasmi dilancarkan di Sabah Jumaat lepas dengan Dr Jeffrey dilantik sebagai pengerusi cawangan di negeri ini.

Mengenai dengan ura-ura Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin berkemungkinan keluar dari Barisan Nasional (BN), Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu, berkata perlu diketahui sama ada ia adalah benar atau ia sekadar khabar angin semata-mata.

“Kita perlu tanya sama ada benar Lajim mahu meninggalkan BN. Daripada apa yang saya lihat di akhbar terdapat juga penafian mengenai perkara ini. Jadi kita perlu kenal pasti sekiranya ia sesuatu yang benar atau cuma mainan politik sahaja,” tegas Dompok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan