Sabtu, 21 Januari 2012

PAIRIN AKUI BN LEBIH BAIK DI BAWAH NAJIB

Pairin (tengah) bersama Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dalam satu majlis sambutan perayaan Pesta Kaamatan.

Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini lebih baik daripada sebelumnya, kata Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Beliau berkata, pembangunan di seluruh negara adalah lebih baik daripada keadaan yang berlaku sebelum ini selain para pemimpin di peringkat negeri serta pemimpin parti-parti komponen BN juga mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan pemimpin di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Dengan mempunyai hubungan yang baik adalah mudah bagi kami untuk bertemu dan mengemukakan masalah kepada perdana menteri pada bila-bila masa serta setiap kali ada keperluan bagi kami untuk berbuat demikian,” katanya.

Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra dengan bertemu orang ramai dan peniaga di pekan Keningau sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Katanya, hubungan baik dalam kalangan pemimpin negeri semakin ketara kerana perdana menteri telah mengambil pendekatan bagi memajukan rakyat.

“Kami berterima kasih dengan perdana menteri kerana mengambil langkah baik serta pendekatan bijak terhadap perpaduan rakyat dengan mewujudkan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan,” ujarnya.

Mengenai program tinjauan mesra itu, Pairin berkata, ia merupakan aktiviti tahunan sempena menjelangnya perayaan Tahun Baru Cina selain memberi peluang kepada rakyat untuk bertemu dengan pemimpin mereka serta pegawai kerajaan yang terlibat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan