Ketua jurulath remaja negeri, Osmera Omaro (kanan sekali) bersama jurulatih yang membantunya, Norsi Sabtari, Musa dan Matasan Ahmad (kiri sekali).
Sekolah Kebangsaan (SK) Likas dipilih sebagai pusat Program Pembangunan Bolasepak Negara atau Pusat MY Kids Soccer bagi melatih dan menggilap bakat-bakat pemain bawah 12 tahun di Sabah.
Pemilihan sekolah itu dilakukan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kementerian Pelajaran dan Kementerian Belia dan Sukan pada tahun lepas.
Ketua jurulatih remaja negeri MSN, Osmera Omaro, berkata program itu bagi meningkat prestasi bolasepak negara di samping persediaan bagi melayakkan diri dalam Kejohanan Bolasepak Piala Dunia Remaja pada 2019.
Bagi mengenal pasti bakat-bakat pemain yang akan menjalani latihan di bawah program My Kids Soccer Sabah, satu sesi pemilihan telah dijalankan di Padang D Kompleks Sukan Likas pada 21 Januari lepas.
Menurut Osmera, pemilihan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan pemain bawah 12 tahun membabitkan murid tahun satu hingga tahun enam dengan kehadiran seramai 276 orang.
Beliau berkata, dalam pemilihan sehari itu, seramai 101 pemain membabitkan murid tahun satu hingga tahun enam disenaraikan untuk menyertai latihan program tersebut.
Daripada jumlah itu, 20 pemain adalah murid tahun enam, 20 pemain (tahun lima), 20 pemain (tahun empat), 18 pemain (tahun tiga), 20 pemain (tahun dua) dan tiga pemain (tahun satu).
Katanya, mereka akan dikehendaki mengikuti latihan program itu berpusat di SK Likas mulai 31 Januari ini.
“Kita telah memaklumkan kepada ibu bapa pemain yang terpilih dan mereka dikehendaki memberi maklum balas bagi memudahkan pemain terbabit dapat menjalani latihan di padang sekolah berkenaan,” katanya.
Osmera menambah, jurulatih yang terbabit dalam sesi pemilihan itu ialah Norsi Sabtari dari SK Likas, Mateli Ekeh (SK Gayang, Tuaran), Mohammad Sabri Sabrin (SK Tanjung Aru) dan Matasan Ahmad (SAFA).
Sementara itu, jurulatih SK Likas, Norsi Sabtari menyifatkan pemilihan SK Likas sebagai pusat program Pembangunan Bolasepak Negara sebagai satu penghargaan terhadap sekolah mereka yang sememangnya mempunyai komitmen bagi menggilap bakat pemain-pemain bawah 12.
“Ini satu pengiktirafan kepada sekolah ini kerana secara kebetulan SK Likas merupakan juara Liga Bolasepak Kota Kinabalu bawah 12 tahun 2011 di samping berjaya mengetengahkan pemain bawah 12 tahun dalam Kejohanan MSSS peringkat negeri selain mewakili Sabah ke Kejohanan MSSM kebangsaan,” katanya.
Beliau memberitahu, bagi SK Likas sendiri, mereka akan terus berusaha untuk melahirkan bakat-bakat baru membabitkan pemain bawah 12 tahun.
“Tugas kita berterusan sebab itu kami tidak pernah ketandusan pemain dan pemilihan SK Likas sebagai Pusat My Kids Soccer tentunya banyak membantu usaha ini malah akan menjadikan lebih baik dengan penyediaan kemudahan dan peralatan sukan oleh MSN,” katanya.
Mengenai dengan sesi pemilihan pemain bagi MY Kids Soccer Sabah baru-baru ini, Norsi berpuas hati kerana 10 pemain tahun enam dari sekolah mereka terpilih daripada 20 pemain yang akan dilatih melalui program itu.
“Mereka terdiri daripada pemain tahun lima pada tahun lepas dan mereka sebenarnya sudah pun mendapat pendedahan di peringkat kebangsaan kerana sebahagian daripada mereka telah mewakili skuad Sabah ke Kejohanan MY Kids Soccer Kebangsaan di Perak pada November tahun lepas,” katanya.
semoga berjaya..
BalasPadam