KOTA KINABALU--Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung pembangunan bola sepak di Sabah dalam satu majlis di sini, esok (Khamis).
Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar atas) akan menyempurnakan majlis berkenaan di sebuah hotel di sini.
Dalam satu kenyataan SAFA hari ini, berkata, MoU itu adalah susulan perbincangan awal antara SAFA, MSN dan Jabatan Pendidikan Negeri berkaitan perancangan untuk memajukan sukan bola sepak di negeri yang dimulakan sejak pertengahan tahun lalu.
"Beberapa siri perbincangan membabitkan wakil tiga pihak itu telah dilakukan beberapa kali sebelum MoU itu dapat dimuktamadkan untuk dimeterai kedua-dua pihak," tambah kenyataan itu.
IMBAS KEMBALI...perbincangan awal membabitkan wakil SAFA, MSN dan Jabatan Pendidikan pertengahan tahun lepas bagi merealisasikan kerjasama tersebut.Sebelum ini, Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar memberitahu, kerjasama membabitkan tiga pihak antara SAFA, MSN dan Jabatan Pendidikan perlu diperkasakan bagi merealisasikan usaha untuk pembangunan bola sepak di negeri ini.
Katanya, beberapa siri perbincangan dilakukan agar persefahaman dan kerjasama dalam usaha untuk memajukan bola sepak di Sabah menjadi kenyataan.
Menurut beliau, SAFA perlu menjalinkan kerjasama dengan MSN dan Jabatan Pendidikan memandangkan kedua-dua jabatan kerajaan itu selama ini sentiasa berusaha untuk mengetengahkan bakat dan potensi pemain-pemain remaja dalam sukan bola sepak.
"Justeru, SAFA mengambil insiatif untuk menjalinkan kerjasama dan persefahaman dengan mereka agar usaha memajukan sukan bola sepak di negeri ini dapat digembleng dan diperkasakan,", katanya.
Kenyataan itu menambah, pemeteraian MoU itu esok (Khamis) akan menjadi sejarah dan era baharu pembangunan bola sepak di Sabah secara berterusan.
Skop pembangunan bola sepak tersebut turut membabitkan proses pewujudan sebuah akademi bola sepak SAFA kemudian, yang bakal dinamakan Akademi Bola Sepak Bung Moktar Radin.
Ia juga sebagai lanjutan kepada penganjuran Kejohanan Bola Sepak Piala BMR bawah umur 18 tahun akhir tahun lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan