Isnin, 7 Februari 2022

ADUN PERLU RAJIN TURUN PADANG KETAHUI MASALAH RAKYAT

KHIDMAT MASYARAKAT...Bung Moktar sedang memaku papan lantai sebuah rumah yang sedang dibaik pulih.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, setiap wakil rakyat perlu memiliki sikap rajin turun padang untuk mendekati rakyat dan mengetahui masalah yang dihadapi mereka di kawasan.

Katanya, komitmen demikian mencerminkan ciri-ciri seseorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang bertanggungjawab terhadap rakyat yang diwakilinya.

"Amalan turun padang ini adalah ciri utama yang perlu ada kepada setiap wakil rakyat bagi membolehkan mereka diterima di kawasan masing-masing," katanya selepas mengetuai wakil-wakil rakyat dalam program gotong royong CSR sempena pemukinan wakil rakyat GRS di Kampung Langung Ayang, Kudat pada Sabtu.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya, berkata jika ini menjadi budaya dan amalan setiap Adun, jalinan hubungan mesra antara pemimpin dan rakyat di akar umbi akan terus dapat diperkukuhkan sekali gus meyakinkan mereka sentiasa memberi sokongan.

Bung Moktar bersama wakil-wakil rakyat GRS sejurus tiba di Kampung Langung Ayang, Kudat.

Menurutnya, program amal yang dilakukan itu selaras dengan apa yang ditekankan oleh kerajaan selain merupakan salah satu prinsip yang diberi penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui konsep Keluarga Malaysia.

Melalui konsep Keluarga Malaysia turut menekankan supaya pembangunan negara bersifat inklusif yakni tiada mana-mana rakyat yang disisih dan dipinggirkan, tambahnya.

Ketua UMNO Sabah itu menegaskan bahawa pembangunan inklusif itu bukan sahaja kerajaan perlu melaksanakan program-program amal namun menuntut setiap wakil rakyat membantu mencapai objektif program yang dianjurkan.

"Jadi melalui jaringan sosial seperti ini lebih ramai golongan daif dan orang kurang upaya dapat dibantu serta turut bersama menikmati pembangunan yang dilaksanakan kerajaan," ujar beliau.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan