Bung Moktar dan Safrushahar menunjukkan dokumen MoU yang ditandatangi.
Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) menjadi badan bola sepak yang pertama di negara ini berkolabarasi dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk pembangunan sukan bola sepak.
Ini berikutan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak pada majlis yang diadakan di sebuah hotel di Kota Kinabalu, hari ini.
SAFA diwakili Presidennya, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin manakala Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan MSN, Mohd Safrushahar Yusoff mewakili MSN bagi menandatangani MoU berkenaan.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata melalui MoU itu, SAFA dan MSN akan menjalinkan kerjasama erat untuk pembangunan bola sepak di Sabah termasuk mencungkil bakat lebih ramai pemain muda di seluruh daerah termasuk di luar bandar.
Bung Moktar berucap pada majlis itu.Katanya, dengan kerjasama kedua-dua pihak, usaha untuk memajukan bola sepak di negeri ini akan dapat dipertingkatkan di mana pihak MSN boleh membantu di segi teknikal.
"Sebelum ini, SAFA memang berusaha melakukan usaha pembangunan sukan bola sepak ini namun dengan kolabarasi dengan MSN, usaha ini mampu diperluaskan lagi," katanya.
Beliau berharap kerjasama ini akan dapat dilaksanakan secepat mungkin terutama di daerah-daerah di luar bandar.
Katanya, pembangunan sukan bola sepak di Sabah akan berpandukan perancangan yang dirangka bersama menerusi kerjasama ini.
Kolabarasi SAFA dan MSN tentu sekali diharap dapat mengenal pasti bakat pemain bukan sahaja untuk negeri dan negara malah kepada industri bola sepak dunia, ujarnya.
"Kita akan mencari pemain bermula daripada peringkat remaja untuk digilap dan sudah tentu MSN yang mempunyai kepakaran boleh bekerjasama dalam mencari bakat baharu yang benar-benar berkualiti," jelas Bung Moktar.
Bung Moktar (kiri) bersama Safrushahar menandatangani MoU itu. Turut kelihatan Dr Jelani dan Shukri.Presiden SAFA itu seterusnya berharap memorandum persefahaman itu perlu dizahirkan dengan mengambil tindakan pantas menjayakan pelaksanaannya.
Mengenai dengan perancangan lain badan bola sepak negeri, beliau berkata, sebaik sahaja penstrukturan semula dilakukan, SAFA akan berusaha untuk mempunyai bangunannya sendiri.
"Kita sudah mempunyai tapak tanah seluas sembilan ekar untuk tujuan sebagai tapak bangunan tersebut," katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Presiden SAFA, Datuk Rahman Zakaria, Naib Presiden, Datuk Suhaimi Nasir, Setiausaha Agung, Datuk Dr Jelani Hamdan, Bendahari Agung, Jasnih Daya dan Ketua Cawangan Program MSN, Shukri Harun.
Bung Moktar bersama beberapa pemimpin tertinggi SAFA dan pegawai MSN selepas menandatangani MoU berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan