Bung Moktar mencuba kenderaan jenazah sumbangan Pemuda UMNO Kudat itu.
KUDAT-- Barisan Nasional (BN) dan UMNO perlu terus memperkasakan tanggungjawab sosial korporat (SCR) kerana peranannya penting dalam pembangunan masyarakat terutama dalam membantu golongan yang memerlukan di samping mengurangkan kadar kemiskinan dalam negara.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, berkata dalam proses pemerkasaan CSR ini, pengupayaan instrumen zakat dan wakaf perlu diberikan keutamaan.
"Dalam melaksanakan program SCR ini, BN dan UMNO walaupun sebagai organisasi politik namun tidak terlepas dari memikul tanggungjawab untuk menyumbang kepada kemajuan masyarakat," katanya selepas menyerahkan kenderaan jenazah sumbangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kudat kepada masjid Jamek Kampung Pengaraban di sini, kelmarin.
Program tersebut merupakan salah satu pengisian program Pemukiman Ahli Dewan Undangan Negeri Kelab Penyokong yang berlangsung di daerah ini selama tiga hari.
Bung Moktar menyerahkan kunci kenderaan jenazah kepada Pengerusi masjid Jamek Kg. Pengaraban pada majlis itu.Timbalan Ketua Menteri itu berkata, tanggungjawab parti bukan sahaja memperkukuhkan parti dan kerajaan namun turut memenuhi kehendak dan memberi penambahbaikan nilai kepada masyarakat agar lebih dekat dengan parti dan kerajaan.
Katanya, walaupun konsep SCR ini teori dari Barat, dari sudut lain ia dilihat selaras dengan tuntutan Islam yang menekankan ciri perniagaan tidak bertujuan memenuhi hanya material sahaja.
Ciri perniagaan dalam Islam juga menekankan kepentingan menjaga kebajikan sosial masyarakat sekeliling, tambahnya.
"Ini dapat dibuktikan dengan tuntutan mengeluarkan zakat dan galakan mewakafkan harta. Penubuhan institusi zakat bertujuan membasmi kemiskinan dan membantu kebajikan sosial masyarakat. Begitu juga institusi wakaf yang bertujuan membangunkan sosio-ekonomi sesebuah negara," ujar beliau.
Sambil mengharagai usaha yang dilakukan oleh Pemuda UMNO Bahagian Kudat itu, Bung Moktar berkata, impak dari aktiviti ini dapat dimanfaatkan bersama bagi mencapai kesejahteraan masyarakat.
Ia sekali gus dapat memperbaiki taraf kehidupan masyarakat selain menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara, katanya.
Menurut Ketua UMNO Sabah itu, ketika negara dilanda pandemik Covid-19, BN/UMNO juga turut memainkan peranan menghulurkan bantuan bakul makanan hampir di seluruh daerah di negeri ini yang bertujuan untuk meringankan mereka yang terjejas dengan penularan wabak virus ini.
Beliau berharap pemimpin parti di semua peringkat bahagian perlu cakna kepada perkembangan semasa seperti ketika berlakunya bencana alam, sewajarnya dilakukan pemantauan terhadap keadaan individu yang benar-benar memerlukan bantuan di segi kebajikan.
Selain penyerahan kenderaan jenazah, Bung Moktar turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada golongan asnaf dan tabung masjid Jamek Kampung Pengaraban.
Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan, Adun Bengkoka, Harun Durabi, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi, Ketua UMNO Bahgian Kudat, Akram Ismail dan Ketua Pemuda UMNO Kudat, Sufian Abdul Karim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan