Ahad, 30 Januari 2022

PERJALANAN BARU BUAT HIZAZ

New Journey. Bismillah
...itulah hantaran terbaru pemain sayap, Hizaz Lokman dalam akaun facebook peribadinya sebaik sahaja disahkan menyertai pasukan baharu, UiTM FC dalam saingan Liga Malaysia musim 2022.

Hizaz, 22, bersama rakan seniornya penjaga gol utama Sabah FC musim lalu, Rendy Robson Rining, 28, berjaya memikat UiTM FC untuk menggunakan khidmat mereka musim ini.

"Alhamdulillah 2022," katanya dalam posting terdahulu di fbnya.

Dalam usia muda itu tentulah dia dapat merasakan cabaran yang bakal diharungi, terpaksa berkelana di luar bermain dengan kelab yang baru. Namun itulah realiti dalam bola sepak apabila kita memilih menjadikan ia sebagai satu kerjaya.

Abangnya, Mohd Al Hafidz, seorang peguam pernah berpesan kepadanya bahawa kerjaya dalam sukan bola sepak boleh memberi masa depan yang baik sekiranya menjadikannya ia kerjaya utama sebagai pemain profesional.

Beraksi bersama UiTM FC ketika menentang Penang FC dalam perlawanan pra musim. UiTM FC 1, Penang FC 1.

"Menjadi pemain bola sepak profesional juga lebih kurang dengan kerjaya yang lain seperti peguam, doktor dan jurutera kerana pemain profesional yang berkualiti mampu mendapat bayaran yang besar," katanya.

Kata-kata abangnya itu mungkin mendorong Hizaz, pemain kidal itu memilih untuk menjadi pemain bola sepak selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Secara kebetulan dia berpeluang memasuki sebuah Sekolah Sukan Negeri (SSN) di Pulau Pinang (SMK Mutiara Impian) dari tahun 2014 hingga awal 2016 sebelum kembali meneruskan persekolahan di SMK Likas, Kota Kinabalu.

Bermula dari situ, ketika berusia 16 tahun, dia telah dipanggil menyertai pasukan Piala Belia Sabah (B19) di bawah kendalian jurulatih Jelius Ating pada masa itu. Dia bermain bersama skuad Piala Belia Sabah dari 2016 hingga 2017.

Rakaman lensa detik-detik semasa perlawanan persahabatan dengan Tun Razak City FC dan Penang FC.

Hizaz kemudian menganggotai skuad Piala Presiden Sabah 2018-2020 dan bersama skuad Sukan Malaysia (SUKMA) Sabah di Perak pada 2018 di mana Sabah memenangi pingat gangsa.

Dari skuad Piala Presiden, dia kemudian dinaikkan ke skuad senior Sabah FC pada 2021, yang pada awal musim di bawah kendalian jurulatih dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto, kemudian diambil alih oleh Jelius sebagai caretaker pasukan sebelum kehadiran Datuk Ong Kim Swee pada penghujung musim.

Bagaimanapun nasibnya tidak kekal bersama pasukan pada musim 2022 yang mendorongnya mengorak langkah seterusnya untuk menyertai pasukan baharu bagi meneruskan impiannya dalam bola sepak yang sudah sebati dengan jiwanya. Alhamdulillah, rezekinya bersama UiTM FC pada saingan Liga Malaysia musim ini.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan