Ahad, 16 Januari 2022

UMNO PERTIMBANG LETAK CALON DI PRK BUGAYA

Bung Moktar diiringi Ketua Umno Bahagian Semporna, Abd. Manan Indanan ketika menghadiri perjumpaan tersebut.

SEMPORNA--Umno Sabah sedia mempertimbangkan untuk meletakkan calon sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya diadakan dalam masa terdekat.

Ketuanya, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, berkata pertimbangan itu akan mengambil kira beberapa aspek terutama sokongan rakyat di kawasan berkenaan.

"Pada pilihan raya negeri lepas, Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon untuk bertanding di kawasan ini kerana ia diwakili calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM), Daud Tampokong tetapi tewas kepada parti Warisan yang diwakili Manis Muka Mohd Darah ketika itu," katanya.

Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah menyatakan demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan Umno Bahagian Semporna di pejabat parti itu di sini, baru-baru ini.

Kerusi DUN Bugaya kosong setelah penyandangnya Manis Muka meninggal dunia pada 17 November 2020 namun PRK ditangguhkan setelah negara disytiharkan darurat ekoran pandemik Covid-19.

Menurut beliau, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mungkin akan mengadakan PRK DUN Bugaya dalam masa terdekat disebabkan wabak Covid-19 semakin menunjukkan penurunan.

"Keputusan untuk mengadakan PRK di kawasan ini akan ditetapkan SPR dan di pihak kita (BN) sentiasa bersedia menghadapinya termasuk akan mempertimbangkan untuk meletakkan calon kita dari Umno," tegasnya.

Pengerusi BN Sabah itu berkata, kekalahan calon BN, Datuk Razak Tun Sakaran yang bertanding pada PRU 14 bukan satu ukuran yang boleh menjejaskan hasrat Umno untuk meletakkan calonnya jika PRK diadakan di kawasan berkenaan.

"Kita faham pengaruh Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal ketika itu namun dalam situasi sekarang, penerimaan semula rakyat kepada BN semakin meningkat. Ini dibuktikan dalam beberapa siri PRK dan terkini kemenangan BN semasa PRN Melaka, baru-baru ini," katanya.

Beliau menambah di kawasan Bugaya sahaja, Umno mempunyai sebanyak 180 cawangan dan yakin jika ahli memebri sokongan padu kepada calon BN, tiada sebab sukar untuk merampas kembali kerusi DUN berkenaan.

Katanya, apa yang penting kepimpinan Umno bahagian perlu bekerja keras mendekati akar umbi dan semua struktur membabitkan pemuda, wanita dan puteri perlu digerakkan secara pro-aktif.

"Kita juga akan mendapat maklum balas daripada akar umbi sebelum membuat ketetapan sama ada meletakkan calon atau sebaliknya," ujarnya.

Pada pilihan raya negeri 2019 lepas, penyandangnya Manis Muka berjaya mempertahankan kerusi DUN Bugaya menewaskan enam pencabar yang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan