JAMES...saya ceritakan perkara yang ramai orang tidak tahu.
Pemain legenda Sabah, Datuk James Wong tampil menceritakan perkara yang menjadi "rahsianya" sendiri dan tidak pernah diketahui peminat bola sepak sebelum ini.
Katanya, sekurang-kurangnya ada empat perkara yang cuba disembunyikannya kepada peminat dan tidak pernah didedahkan kepada umum termasuk wartawan sepanjang pembabitannya dalam sukan bola sepak.
"Saya fikir baru sekarang saya mahu kongsikannya, saudara mahu tahu kan," katanya dalam satu interviu eksklusif di pejabat Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) di sini, petang ini.
"Yang lain-lain jangan tanya, saya tidak mahu cakap. Yang ini boleh saudara tulis," jelas bekas penyerang skuad olimpik negara itu.
Kenapa pula Datuk, saya bertanya?. Sekarang saya belum mahu cakap soal lain, bagus saya ceritakan yang orang lain tidak tahu sebelum ini, tambahnya.
Presiden Persatuan Bekas Pemain-Pemain Sabah itu memberitahu, sebenarnya dia merupakan satu-satunya pemain dari Sabah ketika berusia 16 tahun mewakili skuad kebangsaan sebagai penjaga gol ke Kejohanan bola sepak belia di Tokyo, Jepun pada tahun 1971.
Katanya, dia juga pemain pertama dari Sabah yang menyarung jersi skuad senior kebangsaan pada tahun 1976 ketika berusia 21 tahun.
Selepas itu barulah pemain-pemain lain seperti Hassan Sani, Peter Rajah, Tony Wong, Awang Sabtu Jamil dan Razali Zinin menyusul beberapa tahun kemudian, bermula tahun 1979.
"Saya juga pernah memenangi anugerah sebagai Pemain Terbaik Malaysia pada 1980 anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," kata pemain yang pernah mendapat jolokan King James itu.
James membetulkan pelitup muka sambil memikirkan hala tujunya sebagai seorang legenda bola sepak.Bekas penyerang sensasi itu menjelaskan, dia juga menjadi pemain pertama dari Sabah yang berpeluang menyertai kelab Hakoah Eastern Surburb di Sydney, Australia pada 1974.
"Ketika itu saya bukan lagi penjaga gol tetapi sudah bermain sebagai striker kelab berkenaan untuk satu musim dalam semi-pro di sana," katanya.
Ditanya bagaimana dia menyertai kelab tersebut, James berkata, "jurulatih Malaysia ketika itu, Dave Maclaren dari Scotland telah mempelawanya untuk bermain dengan kelab berkenaan,".
Menurutnya, jurulatih Maclaren sebelum itu iaitu pada 1972 juga pernah memintanya untuk mencuba nasib dengan kelab Wolverhampton Wandarers di England namun tidak kesampaian. James bagaimanapun tidak menyatakan sebab-sebabnya.
Bekas pemain tinggi lampai itu juga pernah bermain dengan kelab Happy Valley di Hong Kong selepas itu tetapi tidak banyak berkongsi kisahnya.
Mengenai pertukaran posisinya dari penjaga gol ke striker, James berkata, "ia atas keinginannya sendiri dan bukan disebabkan jurulatih."
"Saya sendiri yang mahu jadi striker," katanya sambil menambah bahawa bekas jurulatih Malaysia, mendiang Karl Weigang pernah memintanya untuk bermain di posisi attacking midfield atau back up striker dalam skuad kebangsaan.
"Biasanya saya akan jadi back up striker kepada allahyarham Moktar Dahari apabila kami bermain bersama," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan