Sabtu, 29 Januari 2022

SABAH FC LEBIH BERSEDIA HADAPI LIGA SUPER MUSIM INI

SEMANGAT BAHARU...Bung Moktar ditemani Jelani dan Khairul Firdaus bersama sebahagian pemain skuad Liga Super Sabah FC musim ini.

KOTA KINABALU--Sabah FC akan lebih bersedia menghadapi saingan Liga Super musim ini yang dijadual bermula pada Mac ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, berkata pihaknya yakin Sabah FC kali ini mampu bersaing dengan pasukan-pasukan lain dalam liga tersebut.

Katanya, pasukan Sabah FC lebih tersusun musim ini berbanding musim lalu dan ia mampu memberi cabaran kepada pasukan-pasukan lawan.

"Kewujudan pasukan yang serba baharu ini akan menyuntik semangat tinggi kepada pemain-pemain untuk menang," katanya pada majlis fundraising dinner di Pusat Persidangan Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, semalam.
BUNG MOKTAR...peragakan sikap seperti sang juara.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya mahu semua pemain sentiasa mempunyai semangat baharu untuk mencapai kemenangan dan tidak sekali-kali menunjukkan sikap rendah diri kepada pasukan lawan.

Katanya, setiap pemain haruslah memiliki sikap seperti sang juara di samping memperagakan corak permainan yang terbaik serta mempunyai semangat juang tinggi untuk menang dalam setiap perlawanan.

Menurut Bung Moktar, ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee telah berusaha melakukan persiapan kepada pasukan agar berupaya meningkatkan prestasi dan mampu memberi cabaran kepada lawan.

"Justeru dengar arahan ketua jurulatih dan bukan yang lain," tegasnya.

Sabah FC dilihat sebagai sebuah pasukan berwajah baharu dalam saingan Liga Malaysia musim ini dengan mendapatkan khidmat bintang-bintang tempatan ternama seperti Badrol Bakhtiar, Khairul Fahmi Che Mat, Dominic Tan, Rizal Ghazali, Irfan Fazail selain beberapa pemain import baru yang akan diperkenalkan kemudian.

Sehubungan itu, Presiden SAFA itu juga meminta peminat dan para penaja supaya terus memberi sokongan kepada Sabah FC agar pasukan itu mampu mengharungi cabaran dalam Liga Malaysia.
 
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Sabah FC, Datuk Dr Jelani Hamdan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Khairul Firdaus, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmy Yahya, Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Pembantu Pembangunan Luar Bandar, Harun Durabi.
Jelani dan Khairul Firdaus menyambut ketibaan Bung Moktar ke majlis itu.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan