Isnin, 6 September 2021

14 PEMAIN WANITA SABAH TERPILIH SKUAD KEBANGSAAN

 

KOTA KINABALU--Seramai 14 pemain wanita dari Sabah terpilih dalam skuad kebangsaan bagi persiapan menghadapi pusingan kelayakan Kejohanan Bolasepak Wanita AFC Piala Asia 2022. 

Mereka termasuk lima pemain yang menganggotai pasukan wanita Sabah manakala sembilan pemain lagi mewakili pasukan di Semenanjung iaitu Melaka United dan Negeri Sembilan.

Lima pemain yang mewakili pasukan negeri terdiri daripada Asma Junaidi, Jessica Susanne Mailu, Pedrolia Martin Sikayun, Dadree Rofinus dan Ji Fedalliah Claritta Jaimin.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Dr Jelani Hamdan (gambar) memberitahu, pemilihan pemain terbabit dalam pasukan kebangsaan merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan negeri ini. 

Katanya, walaupun hanya lima pemain beraksi untuk pasukan negeri ketika ini namun keupayaan pemain lain untuk bermain dalam pasukan-pasukan di Semenanjung mencerminkan pemain wanita dari negeri ini mampu menyerlah di luar. 

"Kehadiran kesemua mereka dalam pasukan kebangsaan adalah satu penghormatan kepada Sabah yang memiliki pemain wanita yang berbakat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Jelani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita SAFA memberitahu, pemain-pemain berkenaan bersama skuad kebangsaan akan berlepas ke Palestin pada 15 September ini, untuk menghadapi perlawanan pusingan kelayakan itu. 

"Kita doakan mereka menunjukkan prestasi terbaik untuk membantu skuad kebangsaan mencapai kejayaan dalam perlawanan mereka harungi nanti," ujarnya. 

Menurutnya, SAFA akan sentiasa melipatgandakan usahanya untuk mencungkil lebih ramai pemain wanita yang berkaliber untuk diketengahkan dalam pasukan negeri dan seterusnya mampu untuk mewakili skuad kebangsaan. 

Naib Presiden SAFA itu juga menghargai komitmen dan kesungguhan Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin terhadap usaha yang dilakukannya dalam memajukan sukan bolasepak di negeri ini termasuk pasukan wanita. 

Katanya, banyak sumbangan dan pandangan beliau kepada badan bolasepak negeri sejak diberi mandat menerajui SAFA akhir tahun lepas. 

"Sesungguhnya, semua usaha beliau untuk memperkasakan sukan bolasepak di Sabah, sangat kita hargai dan saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih," tegas Jelani.

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan