Rabu, 15 September 2021

MoU ANTARA KERAJAAN DAN PEMBANGKANG UNTUK KEPENTINGAN NEGARA DAN RAKYAT

KOTA KINABALU--Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) berkata, kerjasama anatara Kerajaan Pusat dengan blok pembangkang ketika negara berhadapan masalah kesihatan dan ekonomi merupakan sesuatu yang positif.

Katanya, walaupun kerjasama itu bersifat sementara di mana blok pemangkang akan menjadi pembangkang di Dewan Rakyat namun pandangan mereka tetap akan diambil kira oleh kerajaan untuk kebaikan negara dan rakyat.

"Bagi Umno Sabah, ia sesuatu yang sangat positif dan memperlihatkan langkah baik untuk memulihkan ekonomi serta memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa diberi perhatian," katanya sebagai mengulas kerjasama antara kerajaan dan blok pembangkang itu.

Menurut Timbalan Ketua Menteri itu, persefahaman tersebut mengambil kira kepentingan negara dan rakyat di mana sebaik sahaja rakyat secara keseluruhan menerima vaksinasi, ia membolehkan kerajaan dapat mengadakan pilihan raya umum.

Isnin lepas, Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU yang terhasil dari beberapa siri perbincangan antara wakil kerajaan dan pembangkang sejak akhir bulan lalu ditangani secara bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengandungi tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara.

Turut menandatangani MoU itu ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Presiden Upko, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Majlis itu disaksikan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Azhar Azizan Harun.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya menambah bahawa jalinan kerjasama itu bukan sahaja akan membawa kebaikan dari sudut politik malah manfaatnya akan diterjemahkan dalam aspek pemulihan negara pasca Covid-19.

"Kerjasama ini sekurang-kurangnya akan membawa keharmonian dalam negara di samping satu usaha ke arah menjernihkan konflik politik sekali gus memberi ruang untuk fokus sepenuhnya terhadap khidmat kepada rakyat," ujarnya.

Beliau yakin memorandum persefahaman itu juga berupaya mengetepikan segala perbezaan politik serta dapat memastikan proses pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan