Pasukan Sabah ketika mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab Tricolore FC dari Australia di Padang Bandaran Labuan pada 1982.
Aksi Hassan Sani ketika menentang kelab Manchester United di Likas.
Bakat yang dimiliki pemain negeri begitu memberangsangkan dan ini dapat memastikan kecemerlangan pasukan dalam menghadapi kejohanan-kejohanan tempatan serta mampu menarik perhatian kelab-kelab dari luar negara untuk berkunjung ke negeri ini bagi mengadakan perlawanan persahabatan.
Ini termasuk kelab-kelab ternama dalam Liga Inggeris seperti Manchester United dan kelab dari Australia.
Kehebatan pemain-pemain seperti James Wong, Hassan Sani, Razali Zinin, Peter Rajah, Karti Tukimin, Richard Barnes dan lain-lain sentiasa meniti di bibir peminat-peminat bolasepak tanah air.
Kelincahan mereka beraksi di padang membolehkan sebahagian pemain terbabit terutama James Wong, Hassan Sani dan Razali diberi peranan untuk beraksi dalam skuad kebangsaan terutama dalam Kejohanan Pestabola Merdeka, Sukan Sea, pra-kelayakan Piala Dunia dan Olimpik.
Aksi-aksi hebat pemain-pemain ini memang sukar dicari ganti dan sehingga sekarang, pasukan Sabah sendiri masih terkapai-kapai untuk mencari bakat-bakat baru yang boleh menandingi prestasi pemain-pemain yang pernah kita miliki sebelum ini.
Walaupun keupayaan mereka memang telah terbukti namun tiada seorang daripada pemain-pemain yang berkaliber itu kini terbabit dalam menggerakkan pembangunan bolasepak di negeri ini.
Entah di mana silapnya atau apa puncanya, bakat dan pengalaman mereka dalam bolasepak seolah-olah terlepas pandang oleh pihak yang mengurus bolasepak kita sekarang.
Dalam komen di facebook baru-baru ini, bekas pemain Sabah berasal dari WP Labuan, Dul Alias menyarankan supaya bekas-bekas pemain negeri sepatutnya diberi peluang dan dilibatkan dalam perancangan pembangunan bolasepak di Sabah.
Katanya, pemain kanak-kanak bawah 12 tahun lagi harus diberi bimbingan yang betul mengenai bolasepak bagi membolehkan bakat mereka terus digilap sekali gus mereka dapat mewakili pasukan negeri suatu hari nanti.
Bekas pemain pertahanan skuad Sabah, Zulfikar Ahmad pula berkata bahawa politiking yang wujud dalam bolasepak haruslah dikurangkan kerana ia boleh menjejaskan perancangan dan pengurusan bolasepak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan