Khamis, 11 Ogos 2011

ORANG ASAL, DULU KOLOT KINI MAMPU UNTUK MAJU

Orang Asal (indigenous peoples) berhak untuk mempertahankan hak-hak mereka daripada ditindas dan diceroboh, kata Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.


Namun begitu, katanya, komuniti Orang Asal tetap terikat dengan adat-istiadat serta tatasusila yang perlu dijaga baik dari segi pertuturan mahu pun tingkah laku atau perbuatan yang melambangkan ketinggian ketamadunan masyarakat terbabit.


"Justeru, kita janganlah terikut-ikut dengan budaya masyarakat luar yang sanggup melakukan apa saja di luar batasan yang akhirnya akan merendahkan martabat kita sebagai komuniti Orang Asal," katanya pada majlis sambutan Perayaan Hari Orang Asal Sedunia (PHOAS) di Hongkod Koisaan KDCA, Penampang di sini.


Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA), Datuk Richard Bainon.


Sebahagian suku kaum Orang Asal dari Semenanjung, Sarawak dan Sabah menyertai perarakan pada sambutan perayaan itu.


Pairin juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan sentiasa peka, prihatin dan terbuka untuk mendengar permasalahan yang dihadapi Orang Asal.


Bagaimanapun, katanya, mereka hendaklah menyampaikan sebarang cadangan, bantahan dan ketidapuasan hati melalui saluran yang betul kepada yang berwajib mengikut lunas-lunas perlembagaan.


Pairin yang juga Presiden KDCA berkata, sebagai kaum asal, golongan ini mempunyai kehidupan tradisi, budaya, adat, kepercayaan dan teknologi tersendiri yang unik.


"Jika dahulu, kita dianggap sebagai kaum yang kolot dan mundur tetapi kini kita telah buktikan bahawa kita juga mampu maju seperti kaum lain," tegasnya.


Beliau berkata, Orang Asal seharusnya berbangga kerana kini komuniti ini telah mencapai kemajuan termasuk dalam konteks pembangunan.


Beliau juga berkata, Orang Asal memiliki pengetahuan, sistem pengurusan komuniti, tanah dan sumber tersendiri termasuk teknologi-teknologi yang wajar dicontohi.


TRADISI...sebahagian daripada suku Orang Asal dari Semenanjung, Sarawak dan Sabah menyertai perarakan sempena sambutan Perayaan Hari Orang Asal Sedunia di Penampang.

Misalnya, kata beliau, sistem tagal yang diamalkan untuk menjaga eko-sistem dan ekologi sejak turun menurun telah diakui dan diterima pakai oleh kerajaan melalui Jabatan Perikanan sebagai sesuatu yang efektif untuk memulihara sumber sungai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan