Jumaat, 17 November 2017

HASSAN SANI KECEWA LAPORAN "HARIMAU MALAYA MACAM SARKAS"

Pemain legenda Datuk Hassan Sani (gambar) melahirkan rasa kecewa berhubung laporan kontroversi mendakwa Harimau Malaya macam sarkas di akhbar-akhbar online beberapa hari lepas.

Menurutnya, beliau sangat terkejut apabila terbaca artikel itu dan berasa sangat kecewa.

"Yang menghairankan saya, tidak ada wartawan yang menemuramah atau menghubungi saya dalam masa terdekat ini," katanya ketika dihubungi di Wilayah Persekutuan Labuan bagi mengulas laporan tersebut.

Hassan yang lebih dikenali dengan gelaran "lipas kudung" kerana kelincahannya di era kegemilangannya menyatakan bahawa artikel berkenaan adalah direka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Saya sangat kecewa artikel seperti itu diterbitkan," kata bekas pemain skuad Olimpik negara itu.

Beliau memberitahu, pihaknya juga mahu penulis artikel tersebut agar dapat menghubunginya kerana beliau (penulis) seharusnya bertanggungjawab terhadap artikel yang ditulisnya.


Saya bersama Datuk Hassan menyaksikan satu perlawanan bolasepak di Stadium Likas.
Hassan juga berkata bahawa cintanya terhadap bolasepak Malaysia tidak pernah luntur dan sebab itu beliau mahu pemain-pemain negara meneruskan perjuangan mereka demi maruah negara.

Pemain legenda ini menambah, jika beliau ditanya mengenai pandangannya terhadap kepimpinan badan bolasepak negara pada masa ini, "saya berani berkata mereka patut diberi masa untuk memimpin untuk melihat hasilnya."

"Saya mengucapkan tahniah kepada kepimpinan baru dan kita patut berikan mereka lebih banyak masa," ujar Hassan yang jelas sangat terkesan dengan artikel yang disifatkannya sebagai "direka-reka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab."

Sekarang ini terdapat beberapa artikel mengenai pasukan negara sama ada tersiar di akhbar atau di portal online seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi yang mensasarkan pihak-pihak tertentu. Soalnya siapa dalang, ia menimbulkan persoalan dan tanda tanya peminat bolasepak tanah air.
DUA PENYERANG SENSASI...berpeluang bersama Datuk Hassan dan Matlan Marjan, kapten pasukan Malaysia ketika perlawanan persahabatan dengan pasukan England tidak lama dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan