Pengurus pasukan, Lokman Sunggim menerima Piala KM yang disampaikan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Musa Haji Aman (tengah).
Kejayaan itu merealisasikan impian pasukan itu untuk menjulang piala tersebut sejak pusingan kelayakan lagi.
Penampilan kali pertama di grand final ternyata ia mengejutkan pasukan Beaufort yang sebelum ini pernah memenangi tempat ketiga kejohanan itu.
Di peringkat kumpulan, Kota Kinabalu sudah membayangkan ancaman kepada pasukan Beaufort apabila mereka mengalahkan pasukan itu dengan jaringan 1-0 menerusi penyerang skuad Piala Belia Sabah, Hizaz Lokman.
Bagaimanapun pertemuan sekali lagi di perlawanan akhir memberi kesempatan kepada pasukan Beaufort untuk membalas dendam kepada pasukan Kota Kinabalu.
Namun ia tidak menjadi kenyataan sebaliknya pasukan Kota Kinabalu terus bertindak garang untuk memusnahkan harapan pasukan lawan.
Para pemain Kota Kinabalu meraikan gol kedua jaringan Mohd Ilham (tiga dari kanan).
Striker skuad Piala Belia Sabah, Arius Dius Jais menggunakan ketangkasannya untuk menewaskan penjaga gol Beaufort melalui rembatan kencang pada minit ke-53 separuh masa kedua. Pemain pertahanan, Mohd Ilham Amin menghasilkan gol kedua pasukan Kota Kinabalu melalui sepakan percuma yang membuat penjaga gawang lawan sekadar mampu memerhati bola menerjah jaring.
Pengurus pasukan Kota Kinabalu, Lokman Sunggim, berkata semangat tinggi yang dimiliki para pemain di samping kesungguhan mereka beraksi pada tahap sebenar memberi kelebihan kepada pasukan melakukan kejutan pada perlawanan akhir.
"Para pemain memberi persembahan terbaik dan mereka berhak memenangi perlawanan ini sekali gus memenuhi misi kami untuk menjulang piala tersebut tahun ini," katanya.
Beliau juga menghargai komitmen dan kerjasama semua pegawai dalam pasukan yang turut membantu memantapkan persiapan pasukan mereka.
Dengan kemenangan itu, pasukan Kota Kinabalu menerima piala, wang tunai RM25,000 dan medal. Manakala naib juara pasukan Beaufort menerima hadiah wang tunai RM12,500 dan medal.
Dua pemain Kota Kinabalu - Masran Masri dipilih sebagai penjaga gol terbaik dan pemain tengah Mohd Afiq Yunus dipilih sebagai Pemain Terbaik. Mereka masing-masing menerima sebuah trofi.
Sementara itu, pasukan Keningau menduduki tempat ketiga setelah mengalahkan juara bertahan, pasukan Tawau 2-1 di perlawanan penentuan. Pasukan Keningau menerima hadiah wang tunai RM4,500 dan medal manakala pasukan Tawau di tempat keempat menerima wang tunai RM3,500 dan medal.
Para pemain dan pegawai pasukan Kota Kinabalu meraikan kejayaan selepas menewaskan pasukan Beaufort di perlawanan akhir.
Kesebelasan utama pasukan Kota Kinabalu.
Dari kiri: Jurulatih penjaga gol, Irwan Jamil, ketua jurulatih, Roslan Wasli, pengurus pasukan, Lokman Sunggim, penolong jurulatih, Matasan Ahmad, fisio, Azlan dan kitman, Azmie. (Jurulatih kecergasan, Amsir Abdullah tiada dalam gambar).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan