Khamis, 19 November 2020

KERAJAAN NEGERI SOKONG PENUH PERISYTIHARAN DARURAT PARLIMEN BATU SAPI

Kerajaan negeri menyokong penuh keputusan Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi, sekali gus membatalkan pilihan raya kecil kerusi berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk SerI Panglima Hajiji Mohd Noor (gambar), berkata ia keputusan yang tepat mengambil kira penularan wabak Covid-19 yang menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan rakyat di Sabah.

Katanya, ada keperluan untuk mengekang penularan pandemik wabak tersebut bagi menjamin kesihatan rakyat sebagai satu keutamaan.

Ketua Menteri dalam satu kenyataan pada Rabu, memberi jaminan kerajaan melalui Jawatankuasa Pengurusan Covid-19 Sabah akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkenaan untuk menangani wabak pandemik itu di negeri ini.

Yang di-Pertuan Agong mengisyitiharkan Proklamasi untuk Parlimen Batu Sapi, sekali gus membatalkan pilihan raya kecil di kawasan tersebut.

Proklamasi darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan selepas memperhalusi penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersembahkan nasihat beliau susulan keputusan Jemaah Menteri berhubung perkara itu.

Dengan perisytiharan itu, apa-apa juga proseiding yang telah bermula bagi maksud perjalanan pilihan raya kecil Parlimen P185 Batu Sapi tidak akan diteruskan bagi menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan wabak Covid-19 dan satu tarikh lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Batu Sapi pada 23 November dan hari pengundian pada 5 Disember ini.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lepas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan