Jumaat, 20 November 2020

BN SABAH SAMBUT BAIK PERISYTIHARAN DARURAT DI PARLIMEN BATU SAPI

Barisan Nasional (BN) Sabah menyambut baik keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi sekali gus membatalkan pilihan raya kecil di kawasan berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar), berkata keputusan baginda itu tentunya bertujuan untuk melindungi rakyat dari ancaman penularan Covid-19.

Katanya, keputusan itu satu langkah bijak bagi memastikan kesihatan rakyat Sabah tidak terjejas terutama di kawasan Parlimen tersebut di mana baginda lebih mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau yang juga Ketua Umno Sabah mengulas keputusan yang diambil Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di kawasan Parlimen Batu Sapi pada Rabu lepas, sekali gus membatalkan PRK di kawasan tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Batu Sapi pada 23 November manakala hari pengundian pada 5 Disember ini.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lepas akibat jangkitan paru-paru.

Berikutan perisytiharan itu, apa-apa juga prosiding yang telah bermula bagi maksud perjalanan pilihan raya kecil Parlimen P185 Batu Sapi tidak akan diteruskan bagi mengekang berlakunya gelombang keempat penularan Covid-19 dan satu tarikh lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya itu berkata, perkenan Yang di-Pertuan Agong itu dilakukan dengan mengambil ikhtibar dan pengalaman daripada Pilihan Raya Umum Negeri Sabah September lepas yang menjadi faktor utama gelombang ketiga penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Menurut beliau, pengalaman semasa menghadapi PRN itu perlu dijadikan ikhtibar bagaimana pandemik virus itu merebak begitu cepat khususnya di Sabah.

"Statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 20 September 2020 yakni semasa hari penamaan calon, kes kumulatif Covid-19 sebanyak 808 kes dan selepas hari pengundian 26 September, kes telah meningkat mendadak kepada 1,547 kes dilaporkan atau sekitar 91.5 peratus."

"Selepas empat minggu PRN berlalu, peningkatan kes positif Covid-19 meningkat mendadak menjadikan Sabah merupakan negeri yang tertinggi mencatat kes positif virus tersebut," tegas beliau sambil menambah bahawa situasi itu menyebabkan kebimbangan terhadap PRK Batu Sapi sekiranya diadakan.

Bung Moktar berkata, menyedari kebimbangan itu serta disebabkan ancaman wabak Covid-19 mengambil masa untuk pulih, BN Sabah awal-awal lagi telah menyatakan pendirian untuk tidak meletakkan calon pada PRK tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan