Bung Moktar berbincang dengan Setiausaha Tetap kementerian, Jasmin Julpin dan Pengarah JKR, Ir Ali Ahmad Hamid.
Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan dirombak secara besar-besaran untuk penstrukturan semula bagi membolehkannya lebih berdaya saing dan mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Menurutnya, SESB yang mengurus bekalan elektrik menggariskan lima Bidang Keberhasilan Utama (KRA) untuk memenuhi matlamat tersebut.
Antaranya yang diberi penekanan ialah aspek Kawal Selia Berasaskan Insentif dijangka bermula Januari tahun hadapan, jaminan bekalan tenaga, meningkatkan kepuasan pelanggan, meningkatkan aliran tunai dan transformasi organisasi berkenaan.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya, berkata SESB telah mengalami kerugian demi kerugian sebelum ini di samping bekalan yang tidak mencukupi dan sering terputus dan hasil perbincangan dengan kementerian di peringkat persekutuan telah mencapai persetujuan bagi penstrukturan semula syarikat tersebut.
"Kita akan ambil alih SESB apabila syarikat itu dapat bangkit semula, untuk kita kendalikan sendiri bekalan elektrik di Sabah," katanya dalam persidangan media di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) di Sembulan, pada Jumaat.
Turut hadir kedua-dua pembantu menteri, Datuk Limus Jury dan Datuk Robert Tawik, Setiausaha Tetap kementerian, Jasmin Julpin dan Pengarah JKR, Ir Ali Ahmad Hamid.
Bung Moktar bercakap dengan para wartawan dalam satu persidangan akhbar pada Jumaat.Bung Moktar berharap semua proses tersebut dapat diselesaikan dalam jangka masa lima hingga enam tahun.
Beliau juga mahu supaya Suruhanjaya Tenaga Sabah dan Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari dapat diwujudkan bagi mengurus bekalan tenaga letrik secara lebih berkesan.
Mengenai langkah untuk menyelesaikan isu bekalan letrik di pantai timur, Timbalan Ketua Menteri itu menegaskan, satu projek penjana tenaga bebas (IPP) baharu akan dilaksanakan di kawasan yang membabitkan Tawau, Sandakan dan Lahad Datu.
Katanya, IPP dengan anggaran kos lebih RM1 bilion itu akan dibina di salah satu daerah tersebut yang sedang dikenal pasti lokasinya.
Ia dijangka berkapasiti 1,000 mengawatt (MW) dan mampu memberi bekalan letrik di pantai timur, katanya.
Bung Moktar menambah sebagai usaha permulaan, kerajaan Persekutuan memberi kuota 300 MW bagi penjanaan kuasa di kawasan terbabit termasuk penyediaan kaedah tenaga solar dan mobile barges sementara menunggu pembinaan IPP yang baharu.
Penjanaan tenaga 300 MW itu hanya bersifat sementara dan dijangka siap dalam tempoh setahun atau lebih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan