Ahad, 4 April 2021

KOTA KINABALU JUARA PIALA BUNG MOKTAR RADIN PERINGKAT ZON PANTAI BARAT

Pasukan Kota Kinabalu yang menjuarai kejohanan itu bergambar dengan Alijus dan sebahagian ahli jawtankuasa pertandingan tempatan SAFA.

KOTA KINABALU--Pasukan Kota Kinabalu menjuarai Kejohanan bolasepak Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin peringkat Zon Pantai Barat selepas mengutip enam mata hasil dua kemenangan termasuk menewaskan pasukan Putatan 1-0 dalam perlawanan terakhirnya di Padang SAFA Negeri di sini, petang tadi (Ahad). 

Pada Jumaat lepas, Kota Kinabalu berjaya menumpaskan pasukan Papar 4-0 di padang yang sama pada perlawanan pembukaan kejohanan itu. 

Pasukan Papar menduduki naib juara setelah memperoleh tiga mata menerusi kemenangan ke atas pasukan Putatan 2-0, kelmarin. 

Manakala pasukan Putatan yang tewas dalam kedua-dua perlawanannya memenangi tempat ketiga kejohanan tiga hari itu.

Alijus menyampaikan piala kepada Pengurus pasukan Kota Kinabalu, Djoehan Darno.

Juara, naib juara dan tempat ketiga masing-masing menerima sebuah piala dan medal. 

Presiden SAFA Bandaraya Kota Kinabalu, Alijus Sipil telah menyempurnakan upacara penutupan kejohanan bawah 18 tahun itu dan seterusnya menyampaikan piala dan medal kepada pasukan-pasukan yang menang. 

Dalam ucapannya, beliau berkata, melalui kejohanan itu, bakat-bakat pemain muda akan dapat dicungkil sekali gus berpeluang untuk menjadi pemain pelapis kepada pasukan senior nanti. 

"Ini satu peluang yang baik kepada mereka untuk dapat mewakili pasukan Sabah pada masa akan datang," katanya. 

Beliau bagaimanapun mengingatkan pemain-pemain muda supaya sentiasa mengutamakan disiplin bagi membolehkan mereka dapat pergi lebih jauh. 

Menurut beliau, sebagai pemain, mereka perlu mempunyai disiplin yang baik untuk mereka mencapai tahap lebih tinggi.

Pengerusi penganjur Zon Pantai Barat, Lokman Sunggim (kanan) menyampaikan cenderakenangan kepada Alijus.

Alijus juga memuji Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA kerana berjaya menganjurkan kejohanan seumpama itu yang memberi peluang kepada pemain-pemain untuk menunjukkan bakat masing-masing. 

"Walaupun ada sedikit kekangan akibat wabak Covid 19 namun kejohanan ini berjalan lancar dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pihak kerajaan," katanya,

Turut hadir pada penutupan kejohanan itu ialah Penolong Setiausaha Agung yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, Azman Mastar, Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom, ahli majlis tertinggi SAFA, Othman Abdullah, Mustapha Tuah dan Ketua panel pemilih pemain, jurulatih Stanley Chew.

Sementara itu, pemain-pemain terbaik yang dipilih sepanjang kejohanan akan mewakili pasukan Zon Pantai Barat ke grand final Piala Bung Moktar Radin yang akan ditetapkan tarikhnya kemudian.


 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan