Sabtu, 10 April 2021

PASUKAN WANITA SABAH BUAT PERSIAPAN HADAPI PIALA TUN SHARIFAH RODZIAH

 

Justin bersama Petronella menyatakan sesuatu kepada pemain-pemain wanita sebelum meneruskan sesi pemilihan.

Lebih 80 pemain bolasepak wanita dari seluruh Sabah mengikuti sesi pemilihan pemain untuk pembentukan pasukan negeri anjuran Jawatankuasa bolasepak wanita Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) di padang persatuan itu sejak Selasa lalu.

Sesi pemilihan tiga hari itu dikendalikan jurulatih Justin Ganai dan dibantu bekas pemain wanita kebangsaan, Petronella Douny.

Justin yang pernah menjadi jurulatih wanita bawah 17 tahun kebangsaan, berkata, kehadiran ramai pemain membolehkannya mendapat lebih ramai bakat baharu.

Katanya, ia sambutan yang sangat baik termasuk sebahagian pemain berusia 14 tahun dan ia petanda baik kerana ramai bakat-bakat muda yang dapat dicungkil melalui pemilihan tersebut.

Beliau memberitahu, terdapat juga bekas pemain negeri dan kebangsaan termasuk kapten Mastura Majid turut menyertai sesi pemilihan itu.

"Kami juga memanggil semua pemain kebangsaan dan negeri untuk hadir bagi sesi pemilihan ini kerana kami juga sedang mengenal pasti pemain bagi membuat persiapan pasukan menghadapi Kejohanan Bolasepak Wanita Kebangsaan Piala Tun Sharifah Roziah yang dijadual diadakan pada Oktober ini," katanya.

Justin berkata, semua pemain akan krmbali ke daerah masing-masing selepas ini untuk melakukan persediaan bagi kejohanan antara zon anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Jun ini.

Katanya, jawatankuasa bolasepak wanita juga akan menganjurkan satu lagi kejohanan di venue yang sama dan satu lagi kejohanan sebelum Kejohanan Tun Sharifah Rodziah.

Jelani memberi kata-kata semangat kepada pemain-pemain yang mengikuti sesi pemilihan itu di Padang SAFA Negeri.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita SAFA, Datuk Dr Jelani Hamdan berkata, pihaknya akan berusaha untuk menggembalikan kegemilangan bolasepak wanita di Sabah.

Katanya, dengan strategi dan perancangan yang baik, era kegemilangan bolasepak wanita Sabah boleh disemarakkan kembali.

"Kita mempunyai rekod pernah menjuarai kejohanan sebanyak 14 kali dan kita perlu menuju ke arah pencapaian yang lebih baik seperti yang pernah kita kecapi ini," katanya.

Menurut Jelani, kehadiran bakat-bakat baharu mampu mewarnai semula bolasepak wanita di Sabah.

"Kita akan berusaha untuk mencipta pemain-pemain baharu ini bagi menggalas tugas bersama pasukan Sabah nanti," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga berazam untuk membawa pasukan wanita Sabah ini berlatih dan mengadakan perlawanan persahabatan di luar negara termasuk di Belanda apabila keadaan sudah mengizinkan.

"Ini antara perancangan kita dan saya yakin ia boleh dijayakan," tegasnya.

Kelihatan Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar (tiga kanan), Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom (dua kanan), Jelani, Datuk James Wong dan pegawai-pegawai SAFA hadir memantau sesi pemilihan dijalankan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan