Khamis, 15 April 2021

HENTIKAN SIKAP YANG MENJEJASKAN SABAH FC: BUNG MOKTAR

 

Bung Moktar menyampaikan sumbangan kepada seorang kanak-kanak dari Rumah Amal Kasih Kingfisher pada majlis berbuka puasa Sabah FC.

KOTA KINABALU---Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi amaran kepada pemain-pemain Sabah FC supaya menghentikan sikap yang boleh menjejaskan pasukan itu. 

Katanya, sebarang permainan gosip perlu dihentikan kerana ia boleh menjejaskan pasukan. 

"Kita kena hentikan, cukup...cukuplah. Saya beri amaran yang terakhir," katanya pada Majlis berbuka puasa Sabah FC di Pusat Persidangan Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, malam tadi. 

Amaran itu sebagai susulan tindakan beberapa pemain Sabah FC baru-baru ini yang dilaporkan memboikot latihan dipercayai ada kaitan dengan kelewatan pembayaran gaji mereka. 

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata beliau tidak boleh bertolakansur dengan tindakan sedemikian dan akan mengambil tindakan. 

Katanya, pemain-pemain seharusnya menunjukkan sifat kasih sayang, kesetiaan dan kecintaan dalam pasukan. 

"Jika tiada sifat-sifat kecintaan, ia boleh dianggap sebagai pembelot". 

"Jangan main-main, saya tidak main politik apabila saya mahu rombak SAFA dan Sabah FC," tegas Bung Moktar.

Bung Moktar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Firdaus Akbar pada majlis itu.

Pemangku Presiden SAFA itu menjelaskan pihaknya sedar risiko apabila beliau mengambil keputusan untuk menerajui persatuan bolasepak itu termasuk untuk merombak Sabah FC. 

"Saya telah melakukan segala pengorbanan termasuk wang ringgit, masa dan pengetahuan. Namun tiada siapa yang tahu," katanya. 

Ketika ditanya wartawan kemudian, Bung Moktar meminta pemain Sabah FC mempunyai kesatuan dalam pasukan dan tidak memikirkan soal-soal kepentingan peribadi yang boleh menjejaskan pasukan. 

"Matlamat kita bukan untuk menang semata-mata tetapi persembahan yang terbaik pasukan supaya para penyokong berpuas hati," tegasnya. 

Katanya, jangan lagi ulangi sikap yang menjejaskan pasukan sebaliknya pasukan Sabah FC perlu terus maju untuk menjadi pasukan yang kuat. 

"Perkara yang tidak sewajarnya jangan lagi ditimbulkan. Jangan belum main, pasukan sudah kalah," katanya. 

Mengenai dengan perlawanan menentang pasukan UITM FC di Stadium Likas Sabtu ini, Bung Moktar berkata, pihaknya berkeyakinan Sabah FC mampu untuk mengutip tiga mata penuh di halaman sendiri. 

Katanya, berdasarkan persembahan semasa perlawanan dengan Penang FC di Stadium Bandaraya minggu lalu, Sabah FC boleh mengutip mata dalam perlawanan dengan UiTM FC.

Sabah FC berkongsi satu mata dengan Penang FC selepas seri 1-1.


 

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan