Suhaimi bercakap kepada wartawan selepas perasmian kejohanan itu.
SANDAKAN--Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik, Suhaimi Nasir berkata, kejohanan Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin yang dianjurkan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) boleh menjadi platform terbaik bagi mencungkil pemain-pemain muda berbakat dalam bolasepak di negeri ini.
Katanya, menerusi kejohanan yang membabitkan pemain-pemain bawah umur 18 tahun itu akan membantu memudahkan pencarian bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan.
"Pada saya kejohanan ini satu usaha yang baik untuk melahirkan pemain-pemain muda yang berpotensi dari seluruh negeri," katanya selepas merasmikan Kejohanan Piala Bung Moktar Radin peringkat Zon Pantai Timur Utara di Kompleks Sukan Sandakan, kelmarin.
Zon Pantai Timur Utara dianggotai pasukan Sandakan, Kinabatangan dan Beluran.
Suhaimi menerima cenderakenangan yang disampaikan Pengerusi penganjur Zon Pantai Timur Utara, Ibrahim Mastar.Menurut Suhaimi, kejohanan seumpama ini juga memberi peluang lebih ramai bakat-bakat muda untuk mengambil bahagian dalam pertandingan bolasepak.
"Kita di negeri ini kekurangan kejohanan bolasepak yang dianjurkan dan usaha mengadakan Piala Bung Moktar Radin, langkah yang bagus dan wajar diberi sokongan semua pihak khususnya peminat sukan bolasepak," katanya.
Adun Dilantik itu berkata, pada era 70-an dan 80-an, daerah Sandakan pernah melahirkan pemain-pemain berbakat untuk mewakili pasukan negeri yang membuktikan daerah ini tidak ketandusan pemain.
Bagaimanapun, katanya, kekurangan pertandingan menyukarkan pencarian bakat-bakat baharu untuk digilap dari daerah berkenaan.
Sehubungan itu, beliau berharap kejohanan Piala Bung Moktar Radin ini menjadi permulaan dalam usaha mencari bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan hingga ke tahap lebih tinggi.
Kejohanan tiga hari itu disertai 31 daerah dari seluruh negeri membabitkan lapan zon iaitu Pantai Barat, Pantai Barat Utara, Pantai Barat Timur, Pantai Barat Selatan, Zon Tengah, Pedalaman Atas, Pantai Timur Utara dan Pantai Timur Selatan.
Suhaimi bersama rombongan tiba di Kompleks Sukan Sandakan untuk menyempurnakan upacara perasmian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan