Lokman (empat dari kiri) bersama pegawai dan jurulatih TABS memberi penerangan kepada pelatih-pelatih yang mendaftarkan diri menyertai program itu.
KOTA KINABALU--Program Pembangunan Bolasepak Akar Umbi Tunas Asas Bolasepak (TABS) Safa Bandaraya diteruskan semula di padang TABS berhampiran padang SUKMA di sini mulai Sabtu lepas setelah ditangguhkan sementara waktu kira-kira setahun.
Timbalan Pengerusi TABS Safa Bandaraya, Lokman Sunggim, berkata program itu ditangguhkan sejak Mac tahun lepas bagi mematuhi arahan kerajaan ekoran wabak Covid-19.
"Kita meneruskan semula program ini dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau berkata, sambutan pelatih-pelatih amat memberangsangkan ketika pra-pendaftaran dan pendaftaran baharu dijalankan selama dua hari mulai kelmarin (Sabtu) dan hari ini.
Katanya, lebih 300 pelatih berbuat demikian dalam masa dua hari mengikut kategori umur dari bawah 12, 14, 15, 16 dan 17 tahun.
"Kita terharu dengan sambutan menggalakkan ini selepas program ini berehat kira-kira setahun yang lepas," katanya.
Lokman berkata, pihaknya juga berterima kasih kepada semua ibu bapa pelatih yang memberi kerjasama baik kepada pegawai dan jurulatih TABS sepanjang tempoh pendaftaran itu dijalankan.
Katanya, kerjasama sedemikian akan membantu TABS mengendalikan program ini dengan lebih kemas, teratur dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.
"Kita memutuskan untuk menyambung semula program pembangunan bolasepak ini kerana bagi memenuhi permintaan daripada ibu bapa."
"Kita menyedari situasi itu namun kami akan sentiasa lebih berhati-hati mengendalikan program ini. Dengan kerjasama semua pihak sudah tentu ia memudahkan pihak TABS menyusun program ini dengan lebih baik dan berpandukan SOP yang ditetapkan kerajaan," tegas beliau.
Kaunter disediakan TABS bagi pendaftaran pelatih.Timbalan Pengerusi TABS itu percaya semua pegawai dan jurulatih yang diamanahkan untuk mengendalikan program pembangunan itu dapat memainkan peranan dan menjalankan tugas masing-masing dengan lebih berkesan.
Katanya, setakat ini, TABS mempunyai lebih 10 jurulatih bertauliah diketuai Matasan Ahmad diberi tanggungjawab untuk mengendalikan latihan setiap hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad.
Ibu bapa yang ingin mendaftarkan anak-anak mereka sebagai pelatih baharu boleh berbuat demikian dengan para pegawai dan jurulatih TABS di padang TABS pada hari sesi latihan dijalankan, tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan