Azman menerangkan mengenai kejohanan itu pada mesyuarat secara maya pada Rabu.
KOTA KINABALU: Kejohanan bolasepak merebut Piala Pemangku Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin akan diadakan bermula pada 2 hingga 4 April ini.
Kejohanan bawah umur 18 tahun itu akan dijalankan di lapan zon membabitkan 30 daerah di seluruh negeri.
Tarikh kejohanan yang dinamakan Piala Bung Moktar itu diputuskan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA pada mesyuarat keduanya secara maya, kelmarin.
Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar, berkata kejohanan yang pertama kali dianjurkan itu akan berjalan secara serentak di lapan zon berkenaan.
Katanya, kejohanan itu akan dijalankan tanpa kehadiran penonton dan akan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Zon terbabit ialah Zon Pantai Barat Utara melibatkan Kudat, Kota Marudu, Kota Belud dan Pitas, Zon Pantai Barat Timur dianggotai Penampang, Tuaran dan Kiulu, Zon Pantai Barat terdiri dari Kota Kinabalu, Putatan dan Papar, Zon Pantai Barat Selatan mengandungi Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu, Menumbok dan WP Labuan, Zon Tengah dianggotai Ranau, Telupid dan Tongod, Zon Pantai Timur Utara melibatkan Sandakan, Kinabatangan dan Beluran, Zon Pantai Timur Selatan terdiri dari Lahad Datu, Tawau, Semporna, Kunak dan Kalabakan dan Zon Pedalaman Atas melibatkan Keningau, Nabawan, Tenom dan Tambunan.
Azman bersama ahli jawatankuasa pertandingan tempatan SAFA mengikuti mesyuarat secara maya dengan beberapa pengerusi penganjur pertandingan di peringkat zon.Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, berkata kesemua perlawanan pertandingan itu akan dijalankan di padang Kompleks Sukan di zon masing-masing dan Stadium Likas.
"SAFA sedang berhubung dengan pengurusan kompleks sukan terbabit bagi urusan venue pertandingan tersebut," katanya.
Beliau percaya kesemua daerah dalam lapan zon berkenaan akan mengambil bahagian dalam kejohanan tiga hari itu dan mereka sudah diberi taklimat berhubung pertandingan tersebut.
Menurutnya, setiap pasukan dikehendaki membayar yuran penyertaan sebanyak RM500 bagi melayakkan mereka menyertai pertandingan itu.
Setiap pasukan yang sah mengambil bahagian akan disediakan satu set jersi dan stokin selain setiap zon dibekalkan lima biji bola, katanya sambil menambah ia akan diserahkan kepada pengerusi penganjur pertandingan yang dilantik jawatankuasa pertandingan tempatan SAFA dalam masa terdekat.
Pengerusi penganjur bagi Zon Pantai Barat Utara ialah Ag Lahaji Rokimin, Justin Ganai (Zon Pantai Barat Timur), Lokman Sunggim (Zon Pantai Barat), Dato' Razak Sulaiman (Zon Pantai Barat Selatan), Tommy Amir (Zon Tengah), Ibrahim Mastar (Zon Pantai Timur Utara), Rahman Md Noor (Zon Pantai Timur Selatan) dan Fred Vincent Marukau (Zon Pedalaman Atas).
Azman berkata, kejohanan itu merupakan pembuka tirai kalender penganjuran pertandingan tahun ini dan akan disusuli dengan Kejohanan Piala Hajiji yang dijadualkan pada Julai ini.
Lapan pasukan mewakili zon terbabit akan beradu di grand final sebelum bulan Ramadan.
"Tarikh dan venue grand final akan diputuskan kemudian," ujar beliau.
Selain itu, katanya, SAFA juga merancang untuk menganjurkan tiga lagi kejohanan termasuk kejohanan Piala SAFA, kejohanan antara kelab dan kejohanan bolasepak wanita di peringkat daerah tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan