Ahad, 21 Mac 2021

TABS TERUSKAN SEMULA PROGRAM LATIHAN MULAI SABTU INI

 

KOTA KINABALU: Tunas Asas Bolasepak (TABS) Safa Bandaraya akan meneruskan semula program latihannya mulai Sabtu ini selepas ditangguhkan kira-kira setahun.

Timbalan Pengerusi TABS, Lokman Sunggim (gambar), berkata sesi latihan program pembangunan bolasepak Safa Bandaraya itu akan disambung semula dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, program latihan setiap Sabtu dan Ahad itu telah ditangguhkan sejak Mac tahun lepas bagi mematuhi arahan pihak kerajaan ekoran wabak Covid-19.

"Buat permulaan jurulatih dan pegawai TABS akan memulakan semula pra pendaftaran pelatih di padang TABS berhampiran padang SUKMA di sini, mulai Sabtu ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Lokman, selain pendaftaran secara manual di padang TABS, pendaftaran pelatih secara online juga boleh dilakukan yang akan diumumkan pengurusan TABS kemudian.

Katanya, TABS juga akan menulis surat makluman kepada pihak berkuasa berhubung perkara itu.

Beliau memberitahu, ramai ibu bapa mahukan pengurusan TABS supaya menyambung semula program latihan anak-anak mereka yang tertangguh itu. 

"Pihak pengurusan TABS dan jurulatih telah membincangkan perkara tersebut dan bersetuju menyambung semula program latihan itu sebagai satu usaha membantu membangunkan sukan bolasepak di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, program latihan itu membabitkan kategori bawah umur 12, 14, 16 dan 18.

Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa pelatih-pelatih memberi kerjasama yang baik kepada jurulatih dan pegawai-pegawai TABS yang mengendalikan pendaftaran pelatih khususnya di venue yang ditetapkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan