Masalah gangguan bekalan air di sekitar Kota Kinabalu terutama di Bandar Sierra, Taman Rimba dan Universiti Apartmen (UA) beberapa hari lalu disebabkan gangguan berterusan yang berlaku di Loji Rawatan Air Telibong 1 Tamparuli.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar), berkata punca utama ialah pada Selasa lepas (6 April) berlaku gangguan bekalan elektrik mengakibatkan loji tidak dapat berfungsi 100 peratus selama tiga jam untuk membekalkan air bersih ke kawasan terlibat.
Katanya, selain itu, pada 8 April lalu, kekeruhan air sungai begitu tinggi dan loji terpaksa ditutup dari beroperasi selama lima jam menyebabkan bekalan air tidak dapat disalurkan.
Beliau menyatakan perkara itu sebagai mengulas rungutan penduduk yang terjejas bekalan air bersih di kawasan berkenaan.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya menjelaskan masalah yang dialami penduduk itu dijangka dapat dipulihkan dalam masa dua atau tiga hari.
Katanya, keadaan itu diburukkan lagi ekoran bekalan semasa air di kawasan utara Kota Kinabalu yang mengalami kekurangan sebanyak 30 peratus pengeluaran berbanding dengan permintaan pengguna.
"Kita memahami masalah dan kesulitan penduduk terlibat, justeru penyelesaian serta merta untuk tempoh jangka masa pendek, Jabatan Air akan menghantar bekalan air menggunakan lori ke Bandar Sierra dan Taman Rimba."
"Untuk penyelesaian jangka masa panjang ialah pembinaan Loji Rawatan Air Telbong 2 Fasa 2 yang dijangka siap pada tahun 2023," ujarnya.
Beliau menambah hari ini (Sabtu) keadaan di loji tersebut mula stabil dan dijangka esok (Ahad) atau selewat-lewatnya Isnin atau Selasa, bekalan air akan pulih seperti sediakala.
"Kita berharap tiada lagi gangguan bekalan elektrik selain tidak berlaku kekeruhan air dalam tempoh beberapa hari ini bagi memastikan kelancaran bekalan air. Bagi pihak kementerian, kami memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan