Ahad, 4 April 2021

JAWATANKUASA KHAS DIWUJUDKAN TANGANI MASALAH SETINGGAN

Bung Moktar bersama Datuk Jaffry Ariffin ketika melawat kawasan kebakaran itu di Kampung Simunul.

SEMPORNA--Sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menyelesaikan masalah perkampungan setinggan di Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata, pewujudan jawatankuasa berkenaan akan dibincangkan secara terperinci dalam kabinet negeri.

"Perkara ini akan diurus secara terperinci terlebih dahulu bagi memastikan masalah setinggan dapat dikawal dari berterusan berleluasa,".

"Di Sabah, banyak perkampungan berstatus setinggan dan ia berlaku apabila mula-mula dari 10 rumah, kemudian 20, 200 dan akhirnya menjadi 2,000 rumah."

"Sukar untuk dikawal apabila ia sudah merebak dan sekiranya berlaku kejadian bencana seperti kebakaran, semua rumah setinggan itu akan terlibat," katanya kepada pemberita ketika melawat mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Simunul, di sini.

Bung Moktar (dua dari kanan) memerhati dari jauh kawasan perkampungan yang terlibat dalam kebakaran itu.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya, berkata kes kebakaran di kampung berkenaan  sudah dibincang dalam kabinet negeri dan kerajaan merancang untuk mengenal pasti kawasan tanah untuk dijadikan pusat pemindahan penduduk yang terlibat.

Katanya, pihak kerajaan juga sedang dalam proses menyelesaikan berhubung status penduduk yang terbabit dalam kebakaran tersebut.

"Setinggan ini pula, ada statusnya, ada yang tempatan dan bukan warga tempatan. Justeru ini menjadi masalah kepada kerajaan untuk menentukan status mereka,".

"Namun jika tidak diurus dari awal, saya fikir ia tidak akan mendapat hasil yang lebih baik. Jadi setinggan akhirnya akan semakin berkembang sehingga tanah kerajaan yang hendak dibangunkan pun dijadikan setinggan termasuk di kawasan bandar," tegas beliau.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri itu berkata, perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut berhubung situasi setinggan di negeri ini.

"InsyaAllah, kita akan bincang secara terperinci, mungkin jawatankuasa khas akan menentukan arah bagaimana hala tuju kita mengubah masyarakat setinggan pada masa akan datang," tambahnya.

Terdahulu, sempena lawatan itu, Bung Moktar turut menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada mangsa-mangsa terjejas akibat kebakaran itu.

Diminta mengulas berhubung masalah air di Kunak, Menteri Kerja Raya itu menjelaskan, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengadakan satu persefahaman dengan sebuah juru perunding bagi menjalankan kajian berkaitan hala tuju bekalan air di Sabah.

Katanya, kajian itu mengambil masa kira-kira tiga bulan dan akan bermula minggu ini dan selepas itu, saya akan umumkan hasil kajian tersebut.

"Saya sepatutnya akan melawat Tawau, Lahad Datu dan Kunak tetapi disebabkan ada perkara-perkara tidak dapat di atasi dan ditambah pula Tawau dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi saya terpaksa tangguhkan dahulu lawatan tersebut," katanya.

Bung Moktar dan Jaffry diberi taklimat mengenai kejadian itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan