Bung Moktar (tiga dari kiri) memberi kata-kata perangsang kepada pemain-pemain Sabah FC di bilik persalinan pasukan.
KOTA KINABALU---Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pemain perlu memiliki semangat melawan yang kental apabila berhadapan dengan lawan mereka.
Katanya, semangat melawan ini penting untuk pasukan terutama apabila menghadapi pasukan yang lebih kuat.
"Saya mahu pemain ada semangat untuk melawan supaya momentum kita lebih meyakinkan, tidak kira pasukan mana yang kita lawan," katanya ketika memberi kata-kata semangat kepada pemain-pemain Sabah FC di bilik persalinan pasukan di Stadium Likas, semalam.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata, pemain telah berusaha bermain dengan baik tetapi pasukan memerlukan persembahan yang terbaik.
"Saya tahu anda semua berusaha bermain dengan bagus namun lakukan yang terbaik untuk pasukan dalam perlawanan ini." tegasnya.
Pertembungan dengan JDT, sebuah pasukan yang disegani dalam Liga Super semalam berjaya mendahului tuan rumah 2-0 pada separuh masa pertama.
Situasi itu menggusarkan Pemangku Presiden SAFA itu, malah ada ketikanya tidak senang duduk lantas turun ke bilik persalinan pasukan untuk menemui pemain dan memberi kata-kata perangsang kepada pemain dan staf kejurulatihan Sabah FC pada waktu rehat.
Ekoran itu, momentum pemain-pemain tuan rumah berubah pada saingan babak kedua bersambung dengan menyaksikan Sabah FC memperoleh sepakan penalti pada minit awal permainan yang disempurnakan dengan baik oleh pemain tengah, Levy Madinda untuk merapatkan jurang gol.
Bagaimanapun keadaan itu tidak bertahan lama apabila selang beberapa minit penyerang, Maxius Musa pula telah dilayangkan kad merah kerana melakukan kekasaran terhadap pemain lawan menyebabkan Sabah FC terpaksa bermain dengan 10 pemain.
Detik itu seolah-olah menjadi petanda malang bagi pasukan tuan rumah dengan JDT terus mengasak yang akhirnya berjaya menambah dua lagi gol untuk memastikan mereka membawa pulang tiga mata penuh sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Super setakat ini.
Bung Moktar tiba di Stadium Likas untuk menyaksikan perlawanan antara Sabah FC dan JDT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan